Oleh Azuan Ab Rahman
KUALA LUMPUR : Jaminan Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menegaskan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menyebabkan kenaikan melampau harga barang bakal menjadi satu mitos moden.
Ini berikutan kegagalan kerajaan mengumumkan kepada rakyat pelepasan cukai GST terhadap petrol dan diesel.
Pengarah Propaganda Solidari Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan menegaskan, harga komoditi petrol dan diesel akan naik hampir
15 sen seliter apabila ia dikenakan cukai GST kelak.
Peningkatan harga bahan api itu bakal menjadi satu ‘chain reaction‘ yang mengakibatkan kenaikan harga barang keperluan lain.
Bagi meminimakan beban yang terpaksa ditanggung rakyat selepas pelaksanaan GST, Edy Noor menggesa kerajaan mengumumkan segera senarai 85 barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai sebelum pembentangan Bajet 2015.
Jelasnya, senarai tersebut harus menjadi pengetahuan dan perbincangan umum sebelum ia digazetkan.
“Ramai rakyat yang tidak tahu mengenai perkara ini, kerajaan wajar umum semua perkara GST,” tegas beliau.
Semalam, Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli dalam kenyataan berkata, GST akan dikenakan kepada petrol dan diesel adalah sah
walaupun kerajaan belum mengumumkannya lagi.
Menurut Rafizi, perkara itu didedahkan oleh Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam dan Eksais, Ishak Daud dalam satu taklimat GST
anjuran Universiti Tunku Abdul Rahman minggu lalu, sebagaimana dilapor akhbar Sin Chew Daily.
“Ini mengesahkan sangkaan saya selama ini bahawa, Umno BN akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna
harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015 kelak,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan