Roketkini.com.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak telah tiga kali berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948,
namun janji tersebut musnah bersama janji-janji kerajaan Barisan
Nasional yang dimungkiri.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ‘pusingan-u’
Najib Razak adalah petunjuk bahawa Perdana Menteri menjadi tebusan
golongan ektremis dan sememangnya seorang pemimpin yang memungkiri
janji.
“Kenyataan Najib semalam yang mengambil langkah ke belakang
dari komitmen asalnya untuk memansuhkan Akta Hasutan yang pertama kali
disebut pada 2012 adalah suatu pemberian yang menyedihkan di ambang
negara menyambut Hari Malaysia ke 51,” kata Guan Eng dalam satu
kenyataan.
Tambahnya, tindakan Najib itu adalah petanda sampainya ajal
slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan, bersekali dengan gerakan
moderat yang dibawanya.
“Bukan sahaja membuktikan beliau telah menjadi tebusan para
ekstremis dan pemimpin yang tidak menepati janji, malah menandakan ajal
1Malaysia dan gerakan moderatnya.
“Tidak hairan Najib baru-baru ini membuat keputusan untuk
mewujudkan satu lagi laman web peribadi untuk menjauhkan diri dari laman
web sebelum ini, www.1malaysia.com.my, yang nampaknya tercemar dengan rantaian janji yang telah dimungkiri,” ujar Guan Eng.
Tiada hormat kepada kedaulatan undang-undang
Menurutnya lagi siri pendakwaan terhadap pemimpin Pakatan
Rakyat, pensyarah undang-undang Azmi Shahrom serta siasatan terbaru
terhadap peguam Edmund Bon, menunjukkan wujud pendakwaan terpilih oleh
Peguam Negara.
“DAP mengecam keras tindakan sedemikian yang bermotifkan
politik kerana tiada pula tindakan tegas diambil terhadap Perkasa atau
pemimpin Umno yang membuat kenyataan yang berbaur hasutan terhadap orang
bukan-Melayu dan bukan-Islam.
“Jika Azmi Shahrom, seorang pensyarah undang-undang boleh
dituduh menghasut kerana memberikan pendapat ilmiahnya, tidak ada
harapan lagi terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia,” tegas
beliau.
Najib berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan dua tahun
lalu dalam sebuah ucapan di majlis makan malam Jabatan Peguam Negara,
dan kemudian mengulanginya dalam sebuah wawancara bersama rancangan BBC
World News pada 2 Julai 2013.
Janji tersebut diulang semula pada 6 September 2014, yang
sebelum itu dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Shahidan Kassim.
“Jelas sekali sikap ‘flip-flop’ Najib ini menunjukkan
beliau tidak mampu bersemuka dengan para ekstremis yang mahu supaya
terlantiknya sebuah kepimpinan diktator dengan kuasa autoritarian demi
mencabul hak asasi manusia,” jelas Ahli Parlimen Bagan itu. –
Roketkini.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan