Harga sayur meningkat berikutan kekurangan bekalan di pasaran sejak hujan lebat melanda negeri ini. Harga sayur meningkat berikutan kekurangan bekalan di pasaran sejak hujan lebat melanda negeri ini.
 
 
KUALA TERENGGANU – Banjir di Terengganu mula menimbulkan kerisauan dalam kalangan peniaga barangan harian termasuk penjual sayur-sayuran, berikutan kekurangan bekalan di pasaran sejak hujan lebat melanda.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Kedai Payang, di Kuala Terengganu, semalam mendapati, bekalan sayur-sayuran berkurangan manakala harga meningkat mendadak bermula awal bulan ini.

Peniaga, Kani Jusoh, 51, berkata, bekalan sayur-sayuran berkurangan menyebabkan harganya perlu dinaikkan meskipun mendapat rungutan daripada orang ramai.

“Harga sayuran mula meningkat sejak awal bulan lagi, tetapi sebelum ini hanya beberapa sayuran naik harga. Tetapi sekarang, harga sebahagian besar sayur-sayuran meningkat ekoran faktor kekurangan bekalan kerana hujan.

“Antaranya, lada merah, yang sebelum ini dijual pada harga RM9 hingga RM10 menjadi RM14 sekilogram, timun RM1 kepada RM2.50 hingga RM3, tomato RM3 hingga RM4 menjadi RM5 manakala terung bulat dari RM2.50 menjadi RM4.

“Selain itu, harga terung panjang juga naik dari RM3 kepada RM5,” katanya kepada Sinar Harian.

Norsuhaida Musa, 24, pula berkata, walaupun harganya meningkat, sebahagian pelanggan memahami mengapa harga sayur dinaikkan kerana situasi itu hanya berlaku pada musim tengkujuh.

“Setiap tahun, kita semua sudah sedia maklum dengan situasi ini. Walaupun harga sayur meningkat sedikit, ia masih dijual dan pelanggan juga sanggup beli. Cuma dibimbangkan masalah kekurangan bekalan ini berlanjutan.

“Harga sayur-sayuran dijual meningkat sekitar RM1.50 hingga RM4 setiap kilogram. Harapan kami, pelanggan faham situasi ini dan tidak menyalahkan peniaga,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu mengingatkan pengguna supaya tidak membuat ‘pembelian panik’ terhadap sayur-sayuran hijau kerana akan menyebabkan bekalan di pasaran berkurangan.

Pembelian panik juga akan menyebabkan harganya melambung sedangkan hakikat sayur-sayuran dibeli tidak boleh bertahan lama.

Dalam pada itu, hujan berterusan di negeri ini menyebabkan mangsa yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir semakin bertambah.

Portal laporan banjir kerajaan negeri melaporkan, sebuah lagi pusat pemindahan dibuka iaitu di Dewan Sivik Gong Badak tengah malam kelmarin selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering.

Sehingga jam 4 petang semalam, 55 mangsa membabitkan 15 keluarga ditempatkan di kedua-dua pusat pemindahan tersebut.