Suasana Dewan Undangan Negeri (DUN) kecoh apabila isu pemberian kereta rasmi kepada Ketua Pembangkang, Shamsudin Lias dibangkitkan semasa wakil Sungai Burung itu membahaskan belanjawan Selangor 2015.
Perkara itu dibangkitkan oleh Teng Chang Kim (DAP-Sungai Pinang) apabila Shamsudin melahirkan hasrat wakil rakyat BN untuk menolak wang RM200,000 setahun yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada setiap ADUN Pembangkang.
Perkara itu mengundang rasa kurang senang Shamsudin dan beliau mengatakan bahawa pemberian kereta rasmi itu diluluskan oleh mantan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Saya tak minta (kereta) ini. Ia diputuskan pada masa yang lepas. Jangan diungkit-ungkitlah. Saya nak jelaskan pasal kereta rasmi. Kereta ini diluluskan zaman mantan menteri besar yang lalu. Saya rasa macam tak ikhlas saja. Kalau nak diungkit perkara ini, ambil balik. Saya pun tak perlu itu.
"Ungkit. Apa nak diungkit, kalau nak bagi, bagilah. Nak ambil balik saya tak ada masalah," katanya.
Kemudian beberapa wakil rakyat Pakatan mula bangun untuk mencelah. Namun Timbalan Speaker, Mohd Shafiee Ngah meminta kepada semua ADUN untuk duduk.
Antara ADUN yang berebut untuk bercakap ialah Dr Abdul Rani Othman (PAS-Meru), Ng Suee Lin (DAP- Sekinchan) dan R Rajiv (DAP-Bukit Gasing).
Keadaan itu berlanjutan seketika sehingga semua ADUN diarahkan duduk.
Lembu punya susu, sapi dapat nama
Sementara itu, pada sidang medianya, Shamsudin menjelaskan bahawa pemberian kereta rasmi itu perkara yang telah diluluskan semasa pemerintahan Khalid.
Malah, Shamsudin (bawah) berkata, beliau hanya menerima sebuah kereta rasmi yang baru memandangkan sebelum ini beliau hanya memandu kereta rasmi yang lama.
Beliau turut menggunakan pepatah"lembu punya susu, sapi dapat nama" apabila Menteri Besar Mohamed Azmin Ali menyerahkan kunci kereta rasmi, semalam.
"Peruntukkan pada ketua pembangkang telah diberi masa mantan menteri besar lagi. Dia beri kereta lama, sebab kereta baru tak sampai lagi.
"Selama ini saya dah bawa ke hulur ke gilir kereta lama. Bila kereta baru ada, dia serah pada saya. Dia (Azmin) ambil publisiti.
"Tak sepatutnya perkara ini timbul. Dalam dewan tadi diungkit. Kalau ungkit sangat, ambillah," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan