parlimen
 
 
KUALA LUMPUR - Isu penghapusan populasi tikus dan membersihkan bandar raya Kuala Lumpur berjaya menggamatkan Dewan Rakyat hari ini.

Soalan asal yang diajukan oleh Datuk Joseph Salang Anak Gandum (BN-Julau) kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang dijawab oleh Timbalan Menterinya Datuk Dr Loga Mohan mengenai langkah untuk membersihkan 'haiwan perosak' itu di Kuala Lumpur mengundang gelak tawa dalam kalangan Ahli Parlimen yang lain.

Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su Keong Tiong daripada DAP   yang bangun mencelah berkata, cara Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) menghapuskan tikus dengan menawarkan habuan RM1 kepada setiap 'pembunuh' tikus tersebut adalah tidak praktikal'.

"Bayangkan Kuala Lumpur sahaja memiliki 7 juta ekor tikus.

"Manakala tikus beranak lima kali setahun, langkah mendidik minda lebih penting," katanya.

Lantaran itu, Datuk Dr Loga  bangun dan mengatakan bahawa sebab itulah komitmen bersama dituntut bagi mengatasi masalah ini.

"Dengar dulu Ipoh Timur, sebab itulah kita syorkan agar semua rakyat mainkan peranan  dalam isu ini.

"Ibu bapa, peniaga, murid, guru sekolah dan rakyat perlu mainkan peranan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad bangun mencelah dengan mendakwa kerajaan BN gagal dalam mendidik rakyat.

"Sudah 50 tahun, tetapi masih gagal mendidik minda rakyat," katanya.

Semalam ahli Parlimen dikejutkan dengan berita kehadiran 7 juta tikus di bandar raya Kuala Lumpur.

Berita tersebut disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Ketika diminta mengulas sumber angka 7 juta tikus oleh Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, Tengku Adnan menjawab jumlah tersebut diperoleh selepas bancian dibuat berdasarkan laporan Jakarta Post yang melabelkan Kuala Lumpur sebagai bandar tikus.

Jumlah tikus yang banyak itu berpunca sikap sesetengah warga kota sama ada peniaga atau pembeli yang pengotor, kata Tengku Adnan semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015.

“Kita kena cari punca, tidak boleh salahkan DBKL atau kerajaan,” katanya lapor BNBBC.

Menurutnya lagi, warga kota perlu dididik jadi rakyat yang bersih sekali gus dapat menghindar peningkatan jumlah tikus yang boleh jadi punca penyakit berbahaya.