HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 November 2014

Kementerian akan siasat dakwaan pelajar Kristian dipaksa solat, pakai tudung

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan menyiasat dakwaan seorang kanak-kanak beragama Kristian dari Sabah dipaksa memakai tudung oleh pentadbiran sekolah rendahnya di Negeri Sembilan dan menyertai kumpulan nasyid.

Timbalan Menteri P Kamalanathan berkata siasatan akan dijalankan secara terperinci dan laporan akan dibuat susulan kes itu seperti dilaporkan The Malaysian Insider sebelum ini.
 
"Setahu kami di kementerian, kita tidak memaksa sesiapa mengikut pendidikan agama Islam. Itu kita semua sedia maklum.
 
"Mengenai apa yang disebutkan tadi, saya ambil maklum dan siasatan akan dijalankan secara terperinci untuk melihat kes seperti yang dikatakan. Saya akan siasat dan beri laporan," kata Kamalanathan ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Alor Setar Gooi Hsiao Leung di Dewan Rakyat.
 
Gooi, semasa sesi soal jawab lisan membangkitkan isu murid 12 tahun itu, yang dilaporkan dipaksa memakai tudung, menyertai kumpulan nasyid dan menyertai rakan beragama Islam ketika mereka solat semasa menghadiri sebuah kem.
 
Wakil rakyat PKR itu kemudian memberitahu sidang media di lobi Parlimen, perkara itu amat serius dan menggesa Putrajaya mengambil tindakan sewajarnya.
 
Memetik sumber, The Malaysian Insider pada 15 November melaporkan guru besar sekolah itu, Yunus Ismail, menafikan yang murid itu dipaksa memakai tudung atau menyertai program nasyid itu.
 
"Saya sudah tanya murid itu mengenainya. Dia tidak dipaksa guru-gurunya. Dia memakai tudung secara sukarela. Kami juga tidak memaksa murid bukan Islam menyertai program nasyid itu," katanya.
 
Yunus berkata perkara itu sudah diselesaikan dan ia "bukanlah isu besar."
 
"Saya turut menemui ibu bapanya, dan mereka tidak ada masalah dengan perkara ini. Saya percaya ada beberapa guru yang cuba menjadikan perkara ini satu isu," katanya.
 
Ibu murid itu ketika ditemui The Malaysian Insider kelihatan tidak gentar apabila diajukan soalan berkenaan insiden itu.
 
"Saya tidak mahu jadikannya isu besar. Saya tidak mahu anak perempuan saya dipulaukan di sekolah atau mendapat masalah," katanya, bercakap dalam Bahasa Malaysia.
 
Sumber itu berkata kebanyakan ibu bapa murid di sekolah itu tidak berpendidikan atau tidak berpendidikan tinggi dan juga miskin. Sesetengahnya bekerja di ladang kelapa sawit berhampiran.
 
Kejadian atau percubaan mengIslamkan murid bukan Islam di sekolah bukan perkara baru. Tahun ini sahaja sudah terdapat beberapa dakwaan.
 
Pada Jun tahun ini, Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) Datuk RS Mohan Shan mendakwa, pelajar Islam digunakan bagi menyebarkan Islam secara halus kepada rakan bukan Islam mereka di sekolah menengah.
 
Semalam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menamakan diri mereka Sensible and Ethical Malaysians United Team (SEMUT) membuat laporan polis terhadap The Malaysian Insider, mendakwa berita yang dikeluarkan itu bersifat menghasut.
 
Setiausahanya K Prabakaran berkata, laporan itu dibuat susulan aduan daripada orang ramai dan bagi memastikan kesahihan berita itu.
 
Katanya, mereka meragui kredibiliti sumber tersebut yang katanya boleh menimbulkan ketegangan antara orang Islam dan Kristian di negara ini.

Tiada ulasan: