HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 November 2014

Keputusan mansuh ISA satu kesilapan


Tun Abdul Hamid Mohamad Tun Abdul Hamid Mohamad
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai satu kesilapan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan harus menimbang keperluan untuk mengadakan semula akta itu tanpa takut kepada kritikan mengenainya.

“Perlu diambil perhatian, ISA dibuat di bawah Perkara 149 untuk menentang perbuatan subversif dan tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam.

“Saya faham bahawa kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan lebih baik, hampir dalam semua hal ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Perpaduan Nasional anjuran Gabungan NGO-NGO Pribumi Perpaduan Nasional di sini, semalam.

Beliau juga mengingatkan kerajaan supaya tidak mengulangi kesilapan dengan memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang baginya, perlu dikekalkan.

“Saya mencadangkan supaya akta itu dipinda, mansuhkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan. Kewujudan peruntukan itu tidak konsisten dengan amalan demokrasi. Ia hanya memberi gambaran kerajaan bersifat autokrasi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan segala urusan mengenai Akta Hasutan dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) tidak sepatutnya mengambil alih perkara  yang dalam bidang kuasa KDN serta Peguam Negara.

“Saya turut cadangkan kerajaan mengetepikan draf Rang Undang-Undang Harmoni (RUU Harmoni) yang digubal oleh Majlis Peguam dan Akta Hasutan hendaklah dilaksanakan dengan tegas. Selain itu, bubarkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara
(MKPN) dan sekali gus Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU & D),” katanya.

Menurut beliau lagi, orang Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak hendaklah sedar bahawa usaha memansuhkanAkta Hasutan sebahagian perancangan untuk menghapuskan hak-hak mereka

Tiada ulasan: