Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Cubaan Antarapos untuk mendapatkan penjelasan daripada bekas
kakitangan Menteri Besar Incorporated (MBI) yang menerima pampasan
berjumlah RM2.6 juta masih gagal sehingga ke hari ini.
Faekah Husin dan Arfa'eza Abdul Aziz, masing-masing merupakan bekas
Ketua Eksekutif MB dan bekas Setiausaha Akhbar Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim enggan menjawab pesanan yang dihantar melalui khidmat Whatsapp.
Faekah dan Arfa'eza serta enam bekas kakitangan MBI meletak jawatan
secara sukarela akibat pertukaran pucuk pimpinan negeri kepada Menteri
Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali.
Dikhabarkan Faekah menerima hampir RM700,000 sementara Arfa'eza
menerima sejumlah RM400,000 manakala setiausaha politik Khalid, Mustapa
Mohd Talib menerima pampasan bernilai RM265,000.
Jumlah pampasan itu mencetuskan kontroversi kerana ia melibatkan nilai
yang besar, apatah lagi diluluskan di kala penghujung khidmat Khalid,
yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah MBI ketika itu.
Selain Khalid, peruntukan berkenaan turut diluluskan oleh dua lagi ahli
lembaga pengarah MBI, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin
Munawi dan Pegawai Kewangan Negeri.
Petang tadi, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengakui wujud salah kuasa dalam pemberian pampasan itu.
ADUN Bukit Antarabangsa itu menyatakan penyelewengan yang dilakukan
pengurusan terdahulu MBI itu sangat ketara ia bukan sahaja membabitkan
nilai pampasan malah proses pembayaran juga.
"Ya, terlalu jelas wujud salah guna kuasa bukan sahaja dari segi jumlah malah proses pemberian pampasan.
"Penyaluran ganti rugi kepada lapan orang ahli lembaga MBI itu
dilakukan serta merta dan ia jelas meragukan," katanya ketika ditemui
selepas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di sini, hari ini.
Beliau kemudiannya memberitahu, tindakan sewajarnya akan diambil sebaik
sahaja pengurusan baru mengambil alih MBI, 1 Disember ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan