Ini tindakan untuk hentikan saya daripada
melukis kartun. Perjuangan melukis kartun saya baru sahaja bermula, tak
sampai 50 peratus.
KUALA LUMPUR: ”Banyak lagi saya akan buat dengan lebih pedas dan keras kepada kerajaan BN,” demikian ikrar kartunis Zulkifli Anwar Ulhaque sebagai mengulas tindakan mendakwanya di bawah Akta Hasutan.
Kartunis yang lebih dikenali dengan nama Zunar itu berkata, beliau tidak patah semangat walaupun setelah dua kali didakwa dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, malah ia menyebabkan beliau tekad menghasilkan karya yang lantang mengkritik salah laku pihak kerajaan.
“Kerana lukis kartun saya ditangkap dan didakwa di bawah Akta Hasutan. Ini tindakan untuk hentikan saya daripada melukis kartun.
“Perjuangan melukis kartun saya baru sahaja bermula, tak sampai 50 peratus. Banyak lagi saya akan buat dengan lebih pedas dan keras kepada kerajaan BN,” katanya seperti yang dilaporkan Suara Keadilan.
Zunar akan dipanggil polis untuk disiasat di bawah Akta Hasutan di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, jam 3 petang Khamis.
Beliau mendakwa tindakan terhadapnya diambil kerana beliau mengkritik kerajaan dalam bentuk lukisan kartun, sehingga beberapa karyanya diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Zunar pernah direman dan didakwa di bawah akta yang sama pada September 2010, kerana menerbitkan buku ‘Cartoon-O-Phobia’. Kira-kira 70 naskah bukunya itu dirampas sebelum dilancarkan.
Pada 6 November lalu, tiga pembantu Zunar, Rizaldy Rafie, Raja Norita dan Norliza Mohd Kasim ditahan di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya dan dibawa ke Balai Polis Putrajaya kerana menjual karya beliau.
Kurang seminggu selepas itu, pengendali laman web beliau, Zunar.com pula dipanggil polis untuk diambil keterangan.
Zunar merupakan kartunis politik yang pernah ditahan di bawah Akta Hasutan kerana hasil karya beliau yang mengkritik pemimpin kerajaan. Beliau juga penerima anugerah “Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011″ oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis dari Washington, Amerika Syarikat.
Mahkamah Rayuan pada 9 Oktober lalu menolak keputusan kerajaan mengharamkan buku beliau 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan