Dengan pelaksanaan sistem kaedah pengapungan terkawal yang akan menentukan harga minyak negara, harga barang-barang dan makanan di Sabah adalah terbuka kepada salahguna oleh peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Senarionya boleh diringkaskan seperti berikut. Memandangkan harga minyak negara akan bergantung kepada harga minyak dunia mulai 1 Disember 2014, sekiranya harga minyak dunia naik pada Disember 2014, harga-harga barang dan makanan di Sabah akan naik. Tetapi sekiranya harga minyak dunia turun pada Januari 2015, harga-harga barang dan makanan tadi akan tetap kekal pada harga seperti dalam Disember 2014.
Trend semasa di Sabah ialah kenaikan harga minyak naik akan pasti menaikkan harga barang-barang dan makanan tetapi harga barang-barang dan makanan ini tidak pernah turun selepas itu.
Ditambah dengan polisi kabotaj yang ada di Sabah, harga barang-barang dan makanan di Sabah akan meningkat dengan tinggi dengan pemberhentian subsidi minyak dan ini akan membebankan rakyat Sabah terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa rakyat akan menerima faedah secara langsung dengan sistem kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember 2014. Saya berpendapat itu satu alasan yang tidak munasabah, subsidi bertujuan untuk membantu rakyat.
Sekiranya subsidi minyak dihentikan, bagaimanakah sistem kaedah pengapungan terkawal dapat menguntungan rakyat secara langsung terutamanya golongan berpendapatan rendah?
Masih segar di ingatan saya bagaimana setiap kali kerajaan menaikkan harga minyak negara, kerajaan akan mengeluarkan amaran tentang pendakwaan kepada peniaga-peniaga yang menaikkan harga barang-barang dan makanan secara sembarangan. Tetapi, walau pun amaran tersebut ada, harga barang-barang dan makanan di Sabah tetap melonjak naik.
Sekarang bayangkan sekiranya subsidi minyak dihentikan. Biarpun kerajaan akan mengeluarkan amaran yang saman, saya menjangkakan bahawa amaran tersebut tidak mampu menghalang peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab dari menaikkan harga barang-barang dan makanan di Sabah.
Saya menjangkakan selepas ini akan ramai pakar ekonomi kerajaan dan pro-kerajaan yang akan tampil memberi pelbagai teori dan alasan menyokong keputusan kabinet menghentikan subsidi minyak. Tapi saya terfikir adakah mereka tahu perasaan rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah, setiap kali harga barang-barang dan makanan dinaikkan.
Harga barang-barang dan makanan yang mahal menyusahkan dan membebankan rakyat. Dan semua orang tahu bahawa harga barang-barang dan makanan di Sabah adalah tidak sama dengan di Semenanjung Malaysia. Harga di Sabah adalah lebih tinggi.
Apabila kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga minyak negara, saya selalu terbaca di media massa tentang ada para menteri yang menasihatkan rakyat untuk mengubah gaya hidup mereka supaya belanjawan mereka dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.
Tetapi, menteri-menteri tersebut tidak pula mengubah gaya hidup mereka walau pun harga minyak telah naik beberapa kali dalam tahun-tahun terdekat ini. Ini menunjukkan bahawa menteri-menteri tersebut tidak peka dengan masalah rakyat.
Oleh itu, saya mendesak Perdana Menteri dan kabinetnya untuk menarikbalik keputusan memberhentikan subsidi minyak demi kebaikan rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah.
(*) Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan