KUALA LUMPUR: PAS menggesa pihak polis menyiasat dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ada unsur sabotaj terhadap dirinya dan Kementerian Pendidikan.
Gesaan itu dilontarkan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika membahaskan Bajet 2015 peringkat Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat semalam.
Menurut Mahfuz, satu siasatan menyeluruh pelu dilakukan termasuk memanggil Timbalan Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan.
"Takkan lah cikgu-cikgu yang ditahan polis itu saja-saja sabotaj menteri pendidikan. Apa apa keperluan untuk mereka sabotaj, mereka pegawai biasa.
"Apakah mereka juga jadi alat kepada pemimpin politik yang lain untuk sabotaj jatuhkan menteri pendidikan? Sudah tentu ada dalang-dalang yang mendalangi usaha ini," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.
Terpulang kepada polis
Dalam pada itu Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Bin Jusoh dalam jawapannya berkata, kes kebocoran soalan itu sedang dalam siasatan.
Menurut beliau, hanya polis akan menentukan sama ada perlu atau tidak untuk memanggil Timbalan Perdana Menteri itu.
"Polis dalam siasatan, dan mereka akan tentukan perlu atau tak perlu memanggil beliau (Muhyiddin).
"Kalau ada (dipanggil) kita kata ada, kalau tak ada, kita kata tak ada," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2015 peringkat Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat malam tadi.
Muhyiddin dalam satu sidang media di Vientiane sebelum ini berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kebocoran kertas peperiksaan UPSR itu sebagai tindakan sengaja untuk mensabotaj dirinya dan Kementerian Pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak akan membuat sebarang andaian berhubung siapa yang melakukannya tetapi meminta polis menyiasat sehingga ke akar umbi untuk membawa pelakunya ke muka pengadilan. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan