SPR hendaklah membetulkan kesalahan lepas dengan berunding secara profesional soal persempadanan semula.
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang masih lagi merahsiakan tarikh permulaan persempadanan semula kawasan mengundi.
Bersih 2.0 dalam kenyataannya baru-baru ini mendedahkan, tarikh permulaan persempadanan semula berulang kali diubah dan ditangguh dari tahun 2011 ke 2012, 2013 dan kemudiannya Mac lalu sehinggalah hujung tahun ini.
“Bersih menggesa Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof membetulkan kesalahan lepas dengan berunding secara profesional bersama semua pihak berkepentingan dalam persempadanan semula termasuk mengemukakan maklumat terperinci tentang operasi proses bantahan, pendengaran serta mengumumkan jadual proses.
“SPR tidak boleh menjadikan tarikh permulaan persempadanan semula sebagai teka-teki,” Katanya lapor Roketkini hari ini.
Pada masa yang sama pihak Bersih 2.0 juga menyelar keengganan Abdul Aziz untuk bertemu masyarakat sivil lain bagi membincangkan isu persempadanan semula serta penambahan kerusi Parlimen.
“Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan kepentingan keyakinan orang ramai terhadap tugas SPR, dan ia merupakan kriteria tunggal yang menentukan pelantikan keahlian SPR oleh Yang DiPertuan Agong.
“Kedegilan Abdul Aziz dalam isu penglibatan masyarakat sivil dapat dilihat dalam pengendalian proses persempadanan semula, termasuk mengecualikan kerajaan negeri (Pulau Pinang), tetapi berunding dengan parti politik tertentu (UMNO-BN),” ujarnya.
Katanya lagi, Rekod proses persempadanan semula pada 2003 dan 2005 menunjukkan penemuan mengejutkan, di mana peruntukan Perlembagaan dalam Jadual 13 langsung tidak dipatuhi.
Berdasarkan laporan persempadanan semula SPR untuk Semenanjung Malaysia yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 April 2003 menunjukkan SPR menerima bantahan inidividu bersendirian seperti pemimpin UMNO, walaupun jadual 13 menyatakan pembantah hanya boleh terdiri daripada kerajaan negeri, majlis perbandaran tempatan atau dari 100 pengundi terlibat.
Sebelum ini beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Pulau Pinang menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya yang bercadang untuk melakukan persempadanan semula agar mematuhi prinsip ‘persempanan adil, parlimen efektif’.
Menurut kenyataan bersama Ahli Parlimen PAS-Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, (DAP-Tanjong) Ng Wei Aik dan (PKR-Bayan Baru) Sim Tze Tzin, SPR harus melakukan perlaksanaan prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai”.
“SPR mesti akur kepada syor parlimen ini dan menghapuskan gejala ‘pembahagian tidak sekata’ dan ‘persempadanan tidak adil’, kata mereka yang dilantik bagi mewakili kerajaan negeri dalam urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya Pulau Pinang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan