Oleh SYERLEENA ABDUL RASHID
Hak kesamaan gender – Membuka ruang kerjaya kepada wanita
tidak bererti menjejaskan peluang lelaki; lelaki tidak perlu takut
kerana penyertaan wanita di sektor awam dan swasta akan lebih
memanfaatkan negara
Tanggapan bahawa hanya kaum lelaki merupakan pencari nafkah
dalam sesebuah keluarga dan peranan kaum wanita tidak lain hanya
terbatas kepada penjagaan anak-anak adalah tidak relevan dalam konteks
semasa dan merupakan satu diskriminasi terhadap wanita.
Bertentangan dengan apa yang dinyatakan kumpulan Islamis
konservatif Isma,Malaysia tidak mungkin akan mencapai status Negara maju
berpendapatan tinggi selagi isu-isu yang mencakup persoalan-persoalan
seperti stereotaip gender, terutama dari segi ekonomi dan hak-hak asasi
manusia, masih tidak di atasi dan dibiarkan berterusan.
Kenyataan Dr Nur Farrah Nadia Najib, ketua biro perkumpulan wanita dan masyarakat Isma, dalam kenyataannya:
“A high income nation must not rely on women as the
major contributor but men should lead the workforce and put their
biggest effort in shaping the nation.
Kenyataan ini sungguh pesimistik dan mengecewakan harapan wanita dalam usaha menuntut keadilan.
Usaha untuk meningkatkan status wanita dalam mendapatkan
hak kesamaan dengan lelaki dalam sektor korporat adalah antara isu-isu
yang diperjuangkan oleh perkumpulan-perkumpulan hak wanita. Tuntutan-tuntutan seperti ini merupakan agenda yang memerlukan sokongan
padu setiap lapisan dan golongan dalam masyarakat.
Hari ini, jumlah wanita di peringkat pengajian ijazah jauh
melebihi lelaki. Walaupun begitu, hakikatnya peluang kemercu kerjaya
kepada wanita rata-rata amat terbatas dan pada bidang-bidang tertentu ia
hamper dinafikan.
Kerajaan perlu membuka peluang untuk wanita
Walaubagaimanapun, kalau hanya sekadar menyeru wanita
menyertai bidang pekerjaan ia adalah tidak mencukupi. Apa yang lebih
berkesan untuk menggalak lebih ramai kaum wanita tampil menyumbang
bakatdan kemahiran mereka terhadap pertumbuhan ekonomi ialah kerajaan
perlu mengambil langkah-langkah pro-aktif dengan menjamin kaum wanita,
yang merupakan separuh daripada jumlah penduduk Negara ini, diberikan
kedudukan dan pengiktirafan yang sewajarnya.
Dengan membuka lebih ruang dan peluang kerjaya seganding
kaum lelaki tidak bermakna menafi dan menjejaskan status quo kaum
lelaki. Kehadiran lebih ramai wanita dalam khidmat kerjaya dalam sektor
awam dan swasta akan memanfaatkan negara dan semua pihak. Kehadiran
wanita akan memberi diversiti dalam perspektif dan dinamisma yang
diperlukan demi memantapkan persaingan ekonomi di peringkat global.
Peluang wanita Malaysia masih terbatas
Pada tahun 1995, Malaysia menandatangani perjanjian PBB –
United Nations Convention On The Elimination of All Forms of
Discrimination Against Women (CEDAW) yang juga dikenali sebagai Treaty
for Women’s Equality- yang menekankan keperluan meningkatkan jumlah
penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan serta peluang penyertaan yang
lebih seimbang dalam proses membuat keputusan.
Persidangan tersebut menjadi asas dalam kerangka membina
hak kesamaan menerusi langkah-langkah menjamin peluang-peluang untuk
wanita bergiat dalam politik, pendidikan, kesihatandan pekerjaan.
Pada tahun 2000, Malaysia menganggotai The Millennium
Development Goals (MDGs), sebuah initiatif global yang bertujuan
mempromosikan kesamaan gender menjelang 2015 – tinggal beberapa minggu
lagi. Inisiatif ini dianggap sebagai suatu usaha amat penting demi
menghormati dan menghargai sumbangan-sumbangan para wanita kepada
masyarakat.
Namun dengan segala usaha tersebut, kedudukan Malaysia
dalam laporan the World Economic Forum (WEF) Global Gender Gap 2014
menunjukkan kedudukan Malaysia dalam survey ‘gender gap’ telah jatuh
menjadi sebuah dari 10 dalam kumpulan terendah dalam ranking dunia. Ini
tentunya member impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi dan
kesejahteraan negara.
Bandingkan dengan negara Jepun, jumlah penduduk kurang
lebih 127.34 juta (2013) yang sejak 1989 mengalami kadar jumlah penduduk
mengecut (decreasing) disebabkan antara lain isu-isu dan kompleksiti
berkaitan dengan pembangunan perbandaran moden dan pengindustrian.
Jika Malaysia mahu tiru Jepun, perlu fahami budaya masyakaratnya.
Oleh yang demikian Isma telah silap kerana menyatakan
bahawa Negara Jepun member contoh yang cukup unggul kepada Malaysia
bahawa kita (Malaysia) juga boleh mencapai status negara maju
berpendapatan tinggi seperti negara Jepun dan pada masa yang sama
bataskan peranan wanita di rumah. Ini jelas menunjukkan Isma membuat
analisis tidak tepat dan tidak memahami budaya masyarakatJepun yang
sebenar.
Jepun sebenarnya masyarakat konservatif dan mengamal
nilai-nilai dan system patriarki. Dalam masyarakat Jepun sehingga kini
peranan gender masih kekal dan dikawal ketat, dan ini membataskan
kebebasan, mobility dan hak-hak wanita Jepun. Faktor-faktor ini
berkemungkinan besar menghadkan atau mengurangkan jumlah penyertaan
wanita dalam sektor pekerjaan. Dan ini jelas tiada apa yang menarik dan
cantik dalam persoalan ini.
Baru-baru ini PM Jepun, Shinzo Abe telah membuat kenyataan
untuk menggalakkan lebih ramai wanita tampil menyumbang tenaga mereka
dalam sector pekerjaan. Ini jelas menunjukkan telah timbul kesedaran
dalam masyarakat konservatif Jepun bahawa Negara mereka perlukan tenaga
wanita sama seperti mereka perlukan tenaga kaum lelaki dalam usaha
menangangi kegawatan ekonomi yang dihadapi mereka dan bagi Malaysia
diharapkan akan ambil iktibar dalam menghadapi masalah yang sama.
Hak kesamaan gender bukan bererti wanita mengambil alih
tugas. Ia bermaksud wanita dan lelaki berganding bahu untuk sama-sama
memajukan diri, keluarga, masyarakatdan negara. Tiada manusia mempunyai
hak untuk menindas manusia lain, tidak kira gender, kaum, kepercayaan
atau pangkat. -Roketkini.com
(*) Syerleena Abdul Rashid, Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Bukit Bendera dan Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera
Tiada ulasan:
Catat Ulasan