Gambar: Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu Kelantan yang majoriti peniaga dan pekerja adalah kaum wanita.
Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Jika negara menerima cadangan ISMA
supaya hanya lelaki bekerja, ekonomi Malaysia akan lumpuh dengan
hilangnya separuh tenaga kerja negara.
Setiausaha Politik kepada Ketua Ahli Parlimen DAP Dyana
Sofya Mohd Daud berkata, cadangan Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat
ISMA Johor Dr Nur Farrah Nadia Najib supaya wanita membiarkan lelaki
sahaja menguasai bidang pekerjaan untuk membolehkan Malaysia menjadi
negara berpendapatan tinggi adalah tidak masuk akal serta bersifat
diskriminasi terhadap wanita.
“Apakah pemimpin ISMA mahu separuh dari populasi negara ini
berhenti kerja dan duduk saja di rumah untuk membesarkan anak? Apakah
beliau mahu wanita yang mewakili separuh dari tenaga kerja negara
berhenti kerja hari ini?
“Jika kita mahu bersetuju dengan ISMA, siapa yang hendak
ganti tenaga kerja yang sebanyak 50 peratus itu? Dengan kadar
pengangguran yang tinggi, bagaimana Malaysia hendak jadi negara
berpendapatan tinggi?” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, perangkaan Jabatan Statistik Negara untuk 2011
membuktikan bahawa 50 peratus dari tenaga kerja di negara ini adalah
dari kalangan wanita.
Dyana mengkritik saranan berbaur diskriminasi gender oleh
Dr Nur Farrah yang mendakwa bahawa untuk menjadikan Malaysia negara
berpendapatan tinggi, ia tidak boleh bergantung kepada wanita sebagai
penyumbang utama, sebaliknya lelaki harus ke depan untuk menguasai
bidang pekerjaan.
Menurut Dyana, ISMA perlu sedar bahawa Malaysia sudah
mengesahkan dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang penghapusan
semua bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW) di PBB pada tahun
1995.
Katanya, dokumen itu adalah persefahaman antarabangsa hak
asasi manusia yang fokus terhadap hak-hak serta isu wanita di seluruh
dunia. Ini jelas kerajaan telah memberikan sepenuh komitmen untuk
memenuhi, menghormati, melindungi dan mempromosi hak-hak wanita di
negara kita, ujarnya lagi.
“Malahan dengan jumlah 50 peratus sumber tenaga kerja dari
wanita, mereka harus lebih dilihat dalam posisi-posisi membuat keputusan
agar setiap kepentingan wanita terbela dengan adil.
“Jika (Dr Nur Farrah) betul-betul serius tentang
pertumbuhan negara, beliau harus sedar bahawa apabila wanita dan lelaki
sama-sama bekerja, dengan hak-hak yang sama dan bermaruah, ia akan dapat
membawa Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi, bahkan
lebih dari itu lagi.
“Saya juga harap beliau fikir kembali penglibatannya dengan
ISMA yang kini dilihat sedang menghalang usaha pembinaan negara,
kumpulan yang selalu menyerang agama dan kaum lain, dan sekarang ini
mahu mendiskriminasi wanita pula,” tambah beliau. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan