SHAH ALAM : Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mencabar Tun Dr
Mahathir Mohamad untuk mengadakan debat terbuka selepas mantan Perdana
Menteri itu mendakwa orang Melayu kini terpaksa merayu kepada bukan
Melayu bagi mengekalkan kuasa politik mereka.
Menerusi satu kenyataannya hari ini, Lim menyifatkan apa yang
diperkatakan Mahathir itu kerana takut elemen 'Mahathirisme' semakin
hilang.
"Apakah Dr Mahathir bernar-benar percaya dengan sampah seperti itu,
selepas 57 tahun pemerintahan kerajaan Umno dan enam perdana menteri
Umno – dengan beliau memerintah selama 22 tahun atau 39% daripada 57
tahun ini sebagai perdana menteri keempat – Melayu kehilangan kuasa
politik dan tepaksa mengemis di tanah air sendiri?"
"Jika benar, itu adalah alasan kukuh orang Melayu dan rakyat Malaysia
untuk menyingkirkan Umno dari Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14,
supaya tiada lagi kegagalan selama 57 tahun ini," kata Ahli Parlimen
Gelang Patah itu.
Lebih lanjut, Lim berkata Mahathir seharusnya menunjukkan pengaruh yang baik demi memulihkan negara dan politik di Malaysia.
Malah beliau menyatakan tuduhan Mahathir itu tidak benar memandangkan
majoriti jawatan penting terutamanya di peringkat kerajaan diisi oleh
kaum Melayu.
"Beliau bagaimanapun menjadi pengaruh jahat yang bukan sahaja mendakwa
tidak memahami polisi 1 Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,
tetapi secara terbuka menyebarkan penipuan dan kebencian.
"Dr Mahathir kata Melayu hilang kuasa. Adakah perdana menteri, timbalan
perdana menteri, menteri Umno, ketua penjawat awam, kehakiman, ketua
jabatan, naib canselor universiti menjadi boneka Cina?
"Orang gila sahaja yang akan bersetuju," katanya.
Semalam bekas perdana menteri itu memberi amaran kaum Melayu akan kekal
ketinggalan jika kuasa politik untuk mereka memerintah semakin lemah.
"Sekarang Umno, PKR, dan PAS terpaksa merayu kepada DAP untuk menang
pilihan raya. Apabila kita menjadi pengemis, kita tidak lagi ada kuasa,"
kata Mahathir ketika berucap di Program Kepimpinan Belia di Kuala
Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan