shahbudindotcom
Mengikut
perancangannya, selepas diluluskan di DUN Kelantan, Pas kemudian akan
membawa usul persendirian pula di Parlimen pada Januari tahun depan bagi
membolehkan undang-undang Islam itu dilaksanakan di negeri yang telah
ditadbir Pas sejak 1990 lagi.
Sementara
Pas Kelantan melalui Menteri Besar, Ahmad Yaakob dan timbalannya, Nik
Amar Abdullah begitu bersungguh-sungguh dan yakin untuk terus dengan
perancangan mereka mahu melaksanakan hudud, halangan kini bukan lagi
daripada rakan-rakan dalam PR, terutama yang bukan Islam, sebaliknya
daripada Pas Pusat sendiri.
Jika
DAP tidak bersetuju dengan hudud kerana menganggap ianya bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan dan PKR pula menyatakan ianya bukanlah
dasar yang dipersetujui bersama, Pas pula hari ini berkata, jawatankuasa
pusat parti itu tidak pernah bersetuju dengan hasrat mahu membawa usul
persendirian berkaitan hudud ke Parlimen.
Sebaliknya,
Pas Pusat dikatakan hanya bersetuju berkenaan penubuhan jawatankuasa
teknikal bersama kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh UMNO sahaja.
Perkara tersebut diakui oleh Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli dan seorang lagi AJK Pas Pusat yang enggan disebut namanya.
Seorang
lagi AJK Pas, Khalid Samad turut mengakui bahawa Pas Kelantan tidak
pernah merujuk atau membincangkan mengenai enakmen hudud dengan Pas
Pusat.
Dalam
perkembangan lain, Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar pula memberitahu,
Pas Pusat tidak pernah diberi taklimat oleh Pas Kelantan berhubung
pindaan enakmen syariah itu.
Sehubungan
itu, katanya, Pas Pusat tidak mengetahui kandungan pindaan yang bakal
dibentangkan nanti serta berharap suatu taklimat berkaitan dengannya
akan dibuat.
Mahfuz
juga mengakui Pas Kelantan turut tidak pernah mengadakan sebarang
pertemuan dengan parti-parti dalam PR berhubung perlaksanaan
undang-undang hudud itu.
Melihat
semua perkembangan ini, apakah Pas Kelantan hanya bertindak
bersendirian, bukan sekadar membelakangkan PR tetapi juga menidakkan
kewujudan Pas Pusat dalam keghairahan mahu melaksanakan hudud di negeri
itu? Mungkinkah lebih ramai dalam Pas Pusat turut tidak setuju dengan
hudud?
Jika demikian, apakah tujuan Pas Kelantan bermati-matian mahu melaksanakan hudud itu?
Apakah
hudud begitu penting kepada perjuangan Pas Kelantan sekarang? Kenapa
sejak tahun 1990 iaitu sudah hampir 25 tahun mentadbir Kelantan, hanya
ketika ini kesungguhan itu ternampak bagai tidak boleh ditolak-ansur
langsung sedangkan sebelum ini hudud juga pernah "ditidurkan" dan
digantikan dengan negara kebajikan?
Ternyata
kini hudud bukan saja menjadi masalah sesama rakan dalam PR, tetapi
juga dalam Pas sendiri. Wajarkah Pas Kelantan terus berkeras mahu juga
mengadakan sidang khas DUN pada 29 Disember ini dan kemudian membentangkan usul persendirian di Parlimen?
Memanglah
kita memahami hudud merupakan perjuangan Pas dan menjadi impian mereka
menegakkannya di bumi Allah ini. Namun Pas perlu juga bijaksana dan
melihat realiti yang ada dalam negara di sebalik keinginan mahu
melaksanakan undang-undang itu.
Oleh
kerana mereka masih berada dalam PR dan berkali-kali menyatakan ingin
terus kekal dalam gabungan itu, khususnya bagi membawa perubahan
sebagaimana yang dikehendaki rakyat dalam pilihanraya akan datang,
bertindak secara keras hati dan tidak membincangkannya dengan
bersungguh-sungguh dengan rakan sendiri, bukanlah langkah yang bijaksana
bagi Pas Kelantan, apatah lagi mengeluarkan kenyataan meminta sesiapa
yang tidak bersetuju dengan hudud agar meninggalkan PR.
Jika
benar seperti dakwaan Mahfuz bahawa Pas Pusat dan rakan-rakan dalam PR
tidak pernah diberi taklimat mengenainya, tentulah ini merupakan sesuatu
yang malang sekali.
Yang
perlu difahami juga, hudud tidak mungkin menjadi kenyataan selagi
Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda, terutama berkaitan beberapa
agensi penguatkuasaan seperti polis dan sebagainya yang berada di bawah
kawalan Kerajaan Pusat.
Anwar
Ibrahim pernah berkata, hudud di Kelantan akan menimbulkan banyak
masalah seperti siapa yang mahu menangkap dan membawa pesalah ke
mahkamah sekiranya Perlembagaan tidak dipinda terlebih dahulu.
Walaupun
UMNO dan Kerajaan Pusat menawarkan diri dalam jawatankuasa teknikal
yang difahamkan sudah banyak kali bermesyuarat, sama ada Ahli-Ahli
Parlimen UMNO akan menyokong atau tidak usul persendirian itu juga masih
tidak diketahui.
Mahukah UMNO menyokong usul itu sedangkan mereka masih mengemis undi bukan Melayu melalui MCA, Gerakan dan MIC?
Dengan
hanya lulus di peringkat DUN Kelantan tetapi tidak berjaya di Parlimen,
hudud akhirnya tidak ke mana juga? Atau apakah memang itu yang
dimahukan oleh Pas Kelantan bagi membuktikan UMNO menolak undang-undang
Islam?
Jika itu, maknanya hudud hanyalah alat politik semata-mata?
Dalam
keadaan sekarang, terutama banjir yang kian buruk di Kelantan ketika
ini, ada baiknya Pas membatalkan saja sidang khas pada 29 Disember ini dan menumpukan kepada usaha-usaha membantu mangsa-mangsa yang kian bertambah jumlahnya.
Tangguhkanlah
hudud dan selesaikan banyak perkara yang lebih penting terlebih dahulu.
Lihatlah kepada realiti dan bersikap praktikal dalam soal ini. Lagi
pula, berkeras mengadakan sidang DUN di ketika banjir kian memburuk dan
rakyatnya berjuang antara hidup dan mati, pasti akan memburukkan lagi
imej Pas sebagai parti Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan