Apakah ia masih kekal sebagai kempen semata-mata tanpa sebarang titik akhirnya?
Memanglah
diakui bahawa kempen menggalakkan rakyat mengurangkan penggunaan beg
plastik amatlah baik untuk kehidupan kita. Ini kerana beg plastik
dikatakan memakan masa antara 100 hingga 500 tahun untuk dilupuskan dan
sekiranya dibakar pula akan mengeluarkan gas karbon dioksida yang boleh
meningkatkan pemanasan suhu bumi.
Atas
kesedaran itu, kerajaan melalui Kementerin Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama beberapa pasaraya, kedai
serbaneka dan premis terpilih telah memperkenalkan kempen ini di mana
setiap hari Sabtu tidak lagi dibekalkan beg-beg plastik secara percuma.
Pengguna
digalakkan membawa beg sendiri atau menggunakan beg kitar semula untuk
mengisi barang-barang yang mereka beli atau terpaksa membayar 20 sen
jika inginkan beg pastik.
Wang
20 sen itu pula dikatakan akan disalurkan kepada badan kebajikan, untuk
program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.
Ketika
mula-mula diperkenalkan dulu, ramai yang bersungut dan marah-marah
dengan kempen ini kerana menganggap ianya menyusahkan. Ramai juga
mengelak untuk membeli-belah pada hari Sabtu kerana tidak mahu membayar
20 sen semata-mata untuk beg plastik yang sebelum ini diperolehi secara
percuma.
Seorang
rakan yang membeli keperluan harian di Bangsar pernah bertekak dengan
juruwang kerana enggan membayar 20 sen untuk beg plastik semata-mata
kerana prinsip. Rakan itu berpendapat, oleh kerana beliau telah
membeli-belah di situ, adalah menjadi tanggungjawab pasaraya terbabit
menyediakan beg plastik atau kertas kepadanya.
Oleh kerana bertegas dengan pendiriannya, juruwang itu akhirnya mengalah dan memberinya beg plastik secara percuma.
Seorang
rakan yang lain pula telah bertindak meninggalkan begitu saja
barang-barangnya yang mahu dibelinya di kaunter kerana juruwang berkeras
tidak mahu memberinya beg plastik secara pecuma.
Banyak
lagi insiden antara pengguna dengan juruwang yang berlaku sebenarnya
akibat kempen ini. Ada yang bersungut, membebel dan bermasam muka dengan
juruwang di kaunter. Tetapi ramai juga yang baik hati, memahami dan
tiada masalah mengeluarkan tambahan 20 sen daripada poket mereka.
Meskipun
memahami pentingnya menjaga alam sekitar, tetapi setelah sekian lama
masa berlalu, ramai yang mula mempersoalkan kempen tanpa beg plastik
ini. Bukan bayaran 20 sen itu yang dipersoalkan, sebaliknya ramai yang
keliru bilakah kempen ini akan berakhir sebenarnya?
Apakah selama-lamanya pengguna terpaksa membayar untuk mendapatkan beg plastik jika membeli-belah pada hari Sabtu?
Setelah
sekian tahun kempen diadakan, bukankah sudah sewajarnya penggunaan beg
kertas diwajibkan sepenuhnya bagi menggantikan beg plastik sebagaimana
yang diamalkan di beberapa negara lain?
Selain
itu, dengan hanya hari Sabtu penggunaan beg plastik dikurangkan
sedangkan hari-hari lain ia digunakan seluas-luasnya, kempen ia juga
seolah-olah sekadar main-main dan melepaskan batuk di tangga
semata-mata.
Bukankah
kempen itu bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik dari semasa ke
semasa dan dengan demikian seharusnya kempen tanpa plastik itu semakin
ditambah harinya sehingga akhirnya mencapai tahap paling minima sekali?
Dalam
pada itu, ada juga yang mempertikaikan ke manakah perginya wang
pembelian beg plastik sebanyak 20 sen itu iaitu sama ada ia benar-benar
digunakan untuk tabung kebajikan dan kempen alam sekitar atau akhirnya
hanya menjadi milik pasaraya dan premis terbabit saja?
Kerajaan
pula, sejak memperkenalkan kempen itu seolah-olah tidak melakukan
apa-apa untuk mengurangkan lagi penggunaan beg plastik atau menggalakkan
penggunaan beg kertas. Mereka seperti sudah berpuas hati dengan kempen
setiap hari Sabtu itu sejak bertahun-tahun sebagai sumbangan yang
bermakna kepada alam sekitar tanpa berusaha ke arah lebih baik lagi.
Dalam ertikata yang lain, kerajaan dilihat gagal dalam kempen ini.
Sekiranya
kempen itu gagal mendidik pengguna dan penggunaan beg plastik masih
lagi berleluasa, kerajaan juga disarankan menghentikannya dan mencari
kaedah lain yang lebih berkesan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan