KUALA LUMPUR - Banjir teruk yang melanda Pantai Timur turut memberi
kesan kepada golongan peniaga dalam talian apabila barangan jualan
mereka berdepan masalah penghantaran.
Menurut seorang peniaga dalam talian yang mengedar produk kesihatan,
Norida Darus, jualannya agak merosot kerana kebanyakan pelanggannya dari
Kelantan dan Terengganu.
Norida yang tinggal di Shah Alam berkata ramai pelanggannya mengeluh
kerana kehabisan stok makanan tambahan dan syarikat Pos Malaysia Berhad
pula tidak dapat membuat penghantaran setelah hubungan jalan raya
terputus.
"Sebelum ini setiap hari tidak kurang daripada 10 orang pelanggan saya
membuat pesanan tetapi sejak kawasan Pantai Timur dilanda banjir, hanya
empat orang pelanggan sahaja yang berurusan.
"Disebabkan saya seorang stokis, maka ejen-ejen saya di Pantai Timur
tidak mendapat bekalan dan apa yang menyedihkan kebanyakan mereka
menjadikan perniagaan ini sebagai sumber pendapatan," katanya kepada
Bernama di sini hari ini.
Seorang peniaga batik Kelantan dan Terengganu di Shah Alam, Wan Mohamad
Saifan Wan Sulaiman berkata beliau mengalami masalah bekalan produk
ekoran banjir di Pantai Timur.
"Saya mendapatkan bekalan kain pasang (batik) di Kuala Terengganu
tetapi buat masa ini saya terputus bekalan kerana tiada perkhidmatan
penghantaran dilakukan buat masa ini akibat kawasan di Pantai Timur
dilanda banjir teruk, " katanya.
Dalam pada itu Pos Malaysia Berhad dalam portal rasminya www.pos.com.my
mengumumkan penutupan sementara pejabat Pos di cawangan-cawangan
terlibat dengan banjir.
Syarikat itu memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan menyiarkan
perkembangan mengenainya perkhidmatan pejabat-pejabat pos terlibat dalam
laman portalnya.
Bencana banjir yang melanda negeri di Pantai Timur sejak minggu lepas
bertambah buruk mengakibatkan beberapa jalan terputus hubungan serta
penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan