![]() |
Oleh Ridhuan Tee
Sangat geli hati membaca surat terbuka 25 Melayu yang dikatakan kononnya berpengaruh, berpangkat Tan Sri dan Dato, pesara kerajaan, bercakap soal ekstremis di negara ini dan cara penyelesaiannya.
Semasa dalam perkhidmatan kerajaan, apa yang mereka lakukan? Apakah mereka benar-benar memanfaatkan jawatannya untuk kepentingan agama, bangsa dan negara? Jarang sekali saya melihat ada pegawai tinggi kerajaan sebegini. Rata-rata mahu kekalkan jawatan tingginya, dan kalau boleh disambung kontrak demi kontrak.
Ingin juga saya bertanya, adakah sepanjang berada dalam perkhidmatan kerajaan dahulu, mereka ini semuanya bersih, bebas dari amalan rasuah? Sejauhmana penglibatan mereka dalam NGO selepas bersara atau hanya berjumpa dengan orang-orang pencen?
Sejauh mana pengetahuan agama Islam mereka
hendak mempertikaikan institusi agama dan NGO yang dikatakan bertindak
bertentangan dengan Perlembagaan dan konsep syura atau digelar
ekstremis?
Jangan hanya pandai mengeluarkan
kenyataan. Pergilah berjumpa dengan Menteri berkaitan untuk mengetahui
keadaan yang sebenar. Banyakkan berdamping dengan NGO-NGO yang saban
hari bersama rakyat menyelami masalah mereka, bukannya duduk dalam
banglo setelah pencen dan berbincang sesama sendiri.
Mereka
mendakwa mereka Muslim moderat? Apa maksud moderat? Islam bukan agama
moderat. Islam adalah agama bersifat fundamental. Biasakan berkata saya
Muslim fundamental, bukan moderat. Jika tidak faham fundemantal, biar
saya jelaskan, yakni Muslim yang benar-benar faham dan berpegang kepada
agama Islam, atau menjadikan Islam sebagai way of life, bukan Islam pada
kulit sahaja.
Mempertahankan agama dan hak
kaum itu bukan ekstremis, tetapi fundamental. Lebih-lebih lagi penduduk
asal. Ekstremis adalah mereka yang bertindak membuta tuli atau membabi
buta atau membawa ajaran sesat.
Terus terang,
saya tidak berani menuduh Perkasa atau Isma itu ekstremis, walaupun
ramai yang tidak menyukainya. Selalulah berbincang dan berdampinglah
dengan NGO ini untuk memahami mereka dan hakikatnya.
Jika
kaum lain terus mempertahankan agama dan hak mereka secara ekstrem,
apakah kita perlu menjadi cair, terlalu terbuka atau liberal. Kenapa
tidak menuduh mereka juga ekstrem? Kenapa memangsakan institusi atau NGO
Islam sahaja?
Tidak dinafikan bahawa dialog
antara agama dan peradaban itu sangat penting pada masa kini.
Persoalannya, sejauh mana kita berlapang dada dan memahami makna
keadilan. Ramai hari ini melihat keadilan itu 1=1. Bukan meletakkan
sesuatu kepada tempatnya. Itu yang menjadi ekstrem.
Izinkan saya menjawab saranan 25 tokoh Melayu itu.
Pertamanya,
katanya pertembungan antara undang-undang sivil dan syariah. Sejauhmana
tokoh Melayu ini faham tentang undang-undang dan masalah yang dihadapi.
Saya sarankan pergi berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
dan barisan pakar mereka, untuk berdiskusi, sebelum mengeluarkan
kenyataan. Seorang bekas hakim (peguam) belum dia tentu dia mahir
undang-undang, jika dia jahil undang-undang Islam.
Kedua,
katanya, kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai, termasuk pemimpin
tertinggi, terhadap aspek perundangan dan had bidang kuasa institusi
agama dan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Persoalan saya,
mereka mahir sangatkah?
Adakah benar bahawa
undang-undang yang digubal, termasuk undang-undang Islam, tidak boleh
bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara
berkaitan kebebasan asasi manusia, pembahagian bidang kuasa di antara
Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta prosedur legislatif? Apakah tidak
ada langsung keistimewaan Islam dalam perlembagaan. Bagaimana pula
dengan kedudukan raja-raja Melayu yang menjaga hak agama Islam dan
bangsa Melayu? Benarkah mereka ini pakar?
Ketiga,
hak rakyat untuk membahaskan bagaimana agama Islam digunakan sebagai
sumber undang-undang dan dasar awam di negara ini. Persoalan saya rakyat
bagaimana yang ada hak untuk membahaskannya. Adakah terdiri daripada
kalangan mereka yang sudah pencen? Adakah mereka ini pakar? Kenapa
dahulu semasa bekerja tidak syorkan? Takut bukan? Kenapa terlalu lantang
hari ini setelah pencen? Saran saya, elok mohon balik untuk kerja
kontrak.
Keempat, perlunya mempertingkatkan
kesedaran mengenai kepelbagaian yang wujud dalam pentafsiran teks dan
ilmu feqah. Ingin saya bertanya, sejauhmana ilmu mereka dalam ilmu fiqh?
Berapa kitab yang telah dibaca? Serahkan kepada yang pakar.
Dalam
Pejabat Perdana Menteri dan badan perunding yang dilantik, sudah
terlalu banyak pakar. Apakah 25 tokoh Melayu merasakan diri mereka
terlebih pakar?
Kelima, melantik
pemimpin-pemimpin yang berupaya menghidupkan budaya debat dan wacana
yang terbuka dan koheren berhubung dengan pentadbiran undang-undang
Islam di negara ini. Semua pakar tersebut telah ada. Perbincangan sedang
berjalan, tetapi bukan berdebat seperti yang disyorkan. Debat tidak
akan selesaikan masalah, kerana debat mencari siapa benar, siapa salah.
Sebetulnya, dialog, kerana dialog mencari apa yang benar, apa yang
salah.
Sebenarnya semua keadaan ini berlaku
disebabkan tuntutan ekstrem ultra kiasu. Umat Islam terpaksa bangun
mempertahankannya. Jika tidak, pasti agama Islam akan cair dalam negara
berteraskan kepada Islam dan Melayu ini. Peliknya, kenapa mereka hanya
menyalahkan umat Islam, tidak langsung merujuk kepada ultra kiasu yang
mencetus dan melakukan provokasi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan