HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Disember 2014

Tan Sri dengar dan hayatilah isi surat ini

MSO


YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin,
Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
Putrajaya, Wilayah Persekutuan,
Malaysia.

Assalamualaikum wbh wbt.

YAB Tan Sri,



Muhyiddin meninjau banjir dari udara.
Malam tadi saya sudah mendengar dan menelaahi kenyataan dan penjelasan daripada Tan Sri yang disiarkan dalam media eletronik berhubung bencana banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur khasnya di Kelantan. Saya mendengar dengan tekun penjelasan daripada Tan Sri bahawa buat masa ini tidak perlu darurat diistyharkan di Kelantan.

Kata (alasan) Tan Sri, kalau pun darurat diistyharkan ia tidak menyelesaikan masalah, banjir tidak surut juga kalau diistyharkan darurat. Sedangkan apa yang dikehendaki oleh mangsa banjir kata Tan Sri ialah bantuan bekalan makanan dan keselamatan buat diri mereka. Dan semua itu sedang dilaksanakan. Agak pesimis kenyataan Tan Sri.

Saya akur dengan alasan yang Tan Sri berikan itu walaupun boleh dibahas. Tetapi apabila Tan Sri mengatakan kriteria belum cukup untuk mengityharkan darurat yang menyebabkan saya sedikit teralat dan terkesima. Apa lagi apabila Tan Sri berkata belum ada yang menjadi mangsa (maut) dan jumlah yang dipindah juga belum mencecah ratusan ribu. Apakah Tan Sri mendapat maklumat sengoti sebelum berkata demikian? Adakah?

Bagi saya pendirian dan keputusan diambil Tan Sri itu bukan satu keputusan yang bijak daripada seorang pemimpin tertinggi yang diharapkan rakyat akan mengganti Datuk Seri Mohd Najib Razak suatu hari kelak. Nampaknya Tan Sri tidak mengutamakan keselamatan nyawa rakyat, tapabila mahu mengukur darjah banjir itu dengan kriteria-kriteria yang tersendiri dan tertentu sehingga tergelecah dari ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sendiri dalam bab mengistyharkan darurat bencana alam.

Apakah Tan Sri mahu ada nyawa yang hilang baru tindakan mengistyhar darurat itu dilakukan? Tan Sri, kalau kita ingin melakukan sesuatu terpuji dan benar, kita mestilah bertindak sebelum keadaan menjadi parah. Misalnya kita perlu memastikan dengan langkah proaktif yang kita ambil tidak ada seorang pun mangsa banjir yang meninggal. Bahkan bukan sahaja manusia tetapi hawain juga kita tidak mahu mereka terkorban. Pemimpin atau tindakan yang bijak ialah mengambil tindakan sebelum nasi menjadi bubur.

Tan Sri tidak ada guna untuk kita mempertingkatkan daya bantuan dan keselamatan, sesudah ada yang kehilangan nyawa. Memahami apa yang Tan Sri maksudkan itu darurat akan diistyharkan apabila banyak mangsa banjir maut. 

Tan Sri apabila mangsa banjir sudah menjadi mayat dia tidak perlu diselamatkan lagi. Mereka tidak perlu kepada makanan dan pakaian hatta ehsan serta simpati. Bot dan helikopter untuk membawa mereka ke tempat selamat juga tidak diperlukan lagi. Kalau sudah mati yang boleh diuruskan ialah mengembumikan mayat, atau kalau hendak hanyutkan ke dalam arus banjir pun diharuskan.

Tan Sri, mungkin pandangan saya salah atau terlebih emosi membela saudara saya di Kelantan. Tetapi dalam tilikkan saya apa yang berlaku di Kelantan dalam memberi fokus dan bantuan kepada mangsa banjir ada elemen diskriminasi. Ada unsur-unsur politik jumud dan tidak menunjukkan minda intelektual politik yang membanggakan. Budaya mengukum ke atas rakyat Kelantan yang disifatkan degil kerana menyokong Pas adalah tidak tepat dan satu tindakan fatanah jauh sekali menggambar kita maju.Dasar apartied masih berlaku di Kelantan.

Walaupun alasan untuk tidak istyharkan darurat itu mungkin benar kerana ia tidak mengikut kriteria ditetapkan mengikut incin Tan Sri, tetapi keengganan itu bagi saya bermotif politik. Kuala Lumpur masih lagi menganak tirikan Kelantan dan menghukum rakyat Kelantan yang tidak memberi sokongan kepada parti Tan Sri, Umno). Budaya dan prinsip politik diamalkan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Kelantan masih diteruskan. 

Tan Sri, maaf kalau pandangan dan pesepsi saya ini silap, tetapi itu yang saya tampak. Tan Sri keadaan banjir di Kelantan teruk dan kritikal berbanding dengan Terengganu dan Pahang. Sebagai contohnya di Terengganu dan Pahang tidak ada laporan menunjukkan ada mangsa banjir terperangkap dan kawasan pemidahan yang tidak dapat dimasuki pasukan penyelamat kerana arus deras atau helikopter tidak boleh mendarat seperti mana berlaku di Kuala Krai dan Gua Musang. Kalau pun ada berlaku di Pahang pelancong asing terperangkap di Kuala Tahan dan mereka dengan cepat dibawa keluar dari kawasan banjir.

Tidak ada pengguguran bekalan makanan dari udara di negeri-negeri tersebut. Begitu juga di Terengganu dan Pahang tidak ada cerita-cerita mangsa meninggal dunia kerana terkepong di pusat pemindagan banjir. Sebaliknya kejadian tragis itu berlaku di Kelantan. Hari ini pun terdapat kekurangan bekalan makanan dan air bersih di pusat-pusat pemindahan banjir.

Di Terengganu, Pahang dan Perak pusat kesihatan klinik, hospital tidak dimasuki air dan para doktor dapat merawat pesakit seperti biasa. Tetapi di Kelantan hampir semua hospital di semua Jajahan dimasuki air malahan hospital Kuala Krai hampir tidak berfungsi. Apakah Tan Sri tahu ada kematian di hospital Kuala Krai akibat alat bantuan tidak dapat digunakan kerana ketiadaan eletrik?

Bertolak dari perbezaan suasana dan keazaban itu Tan Sri tidak boleh mengambil ukuran bencana banjir di Terengganu dan Pahang itu untuk tidak mengistyharkan darurat di Kelantan atau memberi fokus lebih kepada Kelantan.

Tengah hari tadi saya difahamkan Tan Sri mengadakan lawatan ke Kelantan dan meninjau keadaan banjir di sana menerusi helikopter. Juga telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pihak di sana. Ikut serta ialah pembesar-pembesar lain termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan juga MB Kelantan Datuk Haji Ustaz Ahmad Yaakob.

Dalam lawat-tinjau itu Tan Sri melihat sendiri suasana dan keparahan banjir di Kelantan dari udara. 

Tan Sri menggunakan perkataan serius bukan kritikal. Tan Sri juga mengakui akan aset bantuan udara, darat tidak mencukupi. Bot tidak banyak dan helikopter hanya ada tujuh buah sahaja. Kem khas banjir juga tidak diwujudkan di mana-mana kawasan di Kelantan kecuali menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa sebagai pengkalan utama. Katanya lapangan terbang itu juga sedang dijenguki air.

Tan Sri sudah mengarahkan agar keperluan aset-aset itu ditambah.  Hasil kunjungan Tan Sri hari ini Tan Sri masih berpandangan tidak perlu kepada pengistyharan darurat. Ini amat-amat menghairankan saya, apakah ia masih belum mencukupi kriteria yang Tan Sri maksudkan? 

Tidakkah bandar Kota Bharu itu ibu pentadbiran dan aktiviti sosial dan ekonomi di Kelantan sudah lumpuh sama sekali. Jambatan Sulktan Yahya Petra yang menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat, Pasir Mas telah ditutup? Begitu juga beratus buah pencawan elertik terpaksa dipotong dan bandar-bandar serta pekan-pekan sudah bergelap. Di banyak tempat bekalan air bersih (paip)  juga tiada.

Ekoran itu ratusan ribu penduduk terputus hubungan dengan dunia luar. Mereka tidak dapat berhubung dengan dunia luar, manakala dunia luar tidak dapat berhubung dengan mereka. Bukan itu sahaja, masih ada kawasan termasuk pusat perpindahan banjir yang tidak dapat dimasuki skuad bantuan dan bekalan terpaksa ditabur di udara? Disebabkan putus hubungan itu para waris waras di luar tertanya-tanya mengenai nasib kaum keluarga mereka dan ada yang keadaan tidak keruan. 

Apakah dengan keadaan dan suasana itu ia tidak memenuhi kriteria untuk distyahrkan darurat, Tan Sri? 

Tan Sri, ikhlas dan jujur saya kata saya tidak faham dengan sikap dan pendirian Tan Sri. Tan Sri tidak mengambil opoturniti di atas laluan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada Tan Sri agar mengurus banjir sebaik mungkin selama beliau berada di luar negara. Sepatutnya Tan Sri mengambil peluang ini untuk menunjukkan jiwa sebenar Tan Sri sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

Sayang Tan Sri seakan terpaku dan tidak terbuka idea untuk bertindak dengan tepat dan bijak. Ikhlas dan jujur sangatkah Tan Sri.

Tan Sri esok... Perdana Menteri kita akan kembali ke tanah air. Usah kita tanya berapa handicap (betulkan istilah ini saya jahil golf) dia perolehisemasa PM bermain golf dengan Barack Obama. Tan Sri sendiri minta kita jangan ganggu beliau kerana beliua sudah banyak berkerja untuk negara. Cuma di sini saya ingin bertanya Tan Sri apakah sekembalinya PM besok beliau akan mengisytrharkan darurat bencana banjir di Kelantan, Pahang dan Terengganu? 

Apakah memang sudah ada niat Tan Sri dan kriteria sudah cukup untuk Tan Sri istyharkan darurat di Kelantan setelah Tan Sri menyaksi sendiri bencana itu tadi, tetapi kerana pengistyharanh itu hendak dibuat sendiri oleh Datuk Seri Najib maka Tan Sri terpaksa tarik brek dan tangguh dahulu? Saya masih bersangka baik dan berharap kepulang Datuk Seri Najib nanti ada perkembangan postif untuk membantu mangsa banjir di Kelantan. Bagaimana pun kalau esok Datuk Seri Najib umumkan darurat di Kelantan, Terengganu dan Pahang, maka Tan Sri kerugian besar untuk memperolehi political mileage yang sudah terngangga lebih empat hari.

Sehubungan itu Tan Sri di sini ingin saya mencadangkan agar Tan Sri selaku Pengerusi Pengurusan Bencana Negara mempersiapkan peruntukan khas untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Peruntukan berupa material itu biarlah besar dan dapat benar-benar meringankan bebanan mereka. Kalau boleh berikan RM100,000 hingga RM500,000 untuk tiap keluarga mangsa banjir. Berapalah sangat wang sebanyak itu demi rakyat sendiri. Tidak berdosa disula "hudud Pas Kelantan" kalau kerajaan memberi peruntukan sebanyak itu kepada rakyat.

Kalau kita boleh menghabiskan wang ratusan jutaan ringgit termasuk dari Khazanah Nasional untuk membiayai pencarian kehilangan pesawat MH370 (yang tidak jumpa sampai kini) ataupun kerana membayar kepada pengganas untuk membolehkan kita masuk ke kawasan tragedi bagi merakam bangkai pesawat MH17 di Ukraine, kenapa kita sayang untuk memperuntukan wang kepada rakyat yang dicicah banjir sebanyak itu.

Tan Sri saya sangat berharap Tan Sri mengambil perhatian dengan keluhan, teguran dan cadangan saya ini. Terima kasih. Wassalam. 

Salam Hormat,
MOHD SAYUTI OMAR.

Tiada ulasan: