Ahmad Yunus Hairi
 
 

SHAH ALAM –  Pas dan DAP dinasihatkan untuk berhenti membuat kenyataan yang saling mencabar antara satu sama lain kerana ia akan merosakkan imej PR.

Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kedua-dua parti itu sebaliknya perlu mengadakan perbincangan mengenai isu hudud dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR) pusat untuk diputuskan.

“Biar MPPR buat keputusan mengenai perkara ini (hudud), selepas ia dibincangkan di peringkat pusat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, percanggahan pandangan daripada Pas dan DAP boleh menjejaskan PR dan akan memberi kesan tidak baik kepada rakyat.

Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyatakan hasratnya tidak akan hadir pada mesyuarat MPPR, jika Pas tetap mahu meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud pada Sidang Khas Dun Kelantan, 29 Disember ini.

Menurutnya, Pas tidak pernah membawa perkara itu kepada MPPR dan jika Sidang Dun Kelantan meneruskan untuk melaksanakan hudud yang mana jawatankuasa Pas Pusat pun tidak tahu, tiada sebab untuknya hadir ke mesyuarat terbabit.

"Saya serah pada parti untuk putuskan tindakan selanjutnya. Saya sokong penuh apa yang disebut Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bahawa hudud bukan sebahagian dasar bersama PR, justeru Pas mesti bawa isu itu kepada MPPR untuk dibincangkan," katanya.