Oleh Elaine Abdullah
Usah persoalkan yang tiada, berbaik sangka ajaran agama.
“Najib, jangan asyik main golf. Najib pentingkan diri. Tidak pedulikan rakyat dan negara yang dilanda bencana.”
Berita Datuk Seri Najib Razak diselar dan dikutuk pelbagai pihak berikutan laporan bahawa beliau sedang bercuti di Hawaii, membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi pendapat mengenai beliau.
Najib bukanlah pemimpin terbaik di kalangan Perdana Menteri Malaysia. Beliau dikatakan hanya bernasib baik sebab berbinkan Tun Abdul Razak. Semestinya rakyat Malaysia kenal siapa bapa beliau. Kebolehan dan kemampuan Najib panas dipersoal dan dipertikaikan. Banyak tohmahan lain yang dilemparkan kepada seorang yang bernama Mohd Najib Abdul Razak.
Najib pastinya bukanlah seorang Perdana Menteri yang dikagumi semua rakyat, terutamanya sejak setahun dua ini. Namun bila difikirkan, tidak ada pun Perdana Menteri yang disukai semua rakyat.
Sebagai manusia mereka tidak sempurna, walau betapa dicuba sekalipun untuk sempurna, pastinya ada yang kekurangan. Bayangkan jika tidak mencuba. Bezanya mungkin yang seorang itu lebih dalam aspek lain, yang seorang lagi kurang di sana sini atau yang seorang lagi serba kekurangan.
Masing-masing yang menilai pula mungkin ada yang jujur, ada pula yang punyai agenda peribadi atau yang lain pula punyai motif politik.
Hakikat bahawa Najib sedang bercuti, kini diketahui umum. Najib bermain golf dengan Obama. Sejak tersiarnya berita The Washington Post yang melaporkan Najib kini sedang bercuti di Hawaii dan turut bermain golf dengan Barack Obama, tiba-tiba bumi Malaysia jadi gamat.
Mahu tidaknya keadaan jadi gamat, ketika negara menghadapi ujian bencana banjir besar yang melanda Pantai Timur Semenanjung, Najib dikatakan “memilih untuk bergembira dan berfoya-foya di luar negara.”
Ada yang mempersoalkan jika Najib memberi keutamaan kepada percutiannya. Najib dikatakan sengaja tidak membatal atau menangguhkan percutian itu untuk berada bersama rakyat.Najib tidak prihatin. Najib tak peduli derita rakyat. Najib pentingkan diri, dan banyak lagi. Benarkah demikian?
Memang daripada gambar yang disiarkan Washington Post, Najib nampak tersenyum ceria…memang mudah untuk sesiapa saja menebak hati dan perasaan seseorang. Namun, tidak semestinya tebakan itu betul. Najib tidak ingat kesusahan dan penderitaan rakyat. Sebagai manusia yang waras, mustahil beliau tidak dihantui pelbagai perasaan tidak enak mengenangkan keadaan di negaranya. Mustahil juga jika tidak tercuit langsung perasaannya.
Agama mengajar kita supaya berbaik sangka. Tidak boleh menebak semberono, berburuk sangka, memfitnah, menghasut dan banyak lagi sifat negatif dilarang agama.
Biarlah kita cuba bersangka baik. Saya ulangi, cuba bersangka baik. Memang Najib sedang bercuti. Tetapi, mungkin juga beliau “menyelam sambil minum air.” Tidak mustahil jika sambil bermain golf, Najib juga berbual soal rasmi. Jika tidak, apakah topik lain yang mungkin dibualkan dengan Obama.
Pastinya Obama juga mengetahui tentang bencana banjir di Malaysia. Agak mustahil mereka bercerita soal golf saja. Dan, agak mustahil mereka mengumpat.
Benarkah ramai yang tertanya-tanya keberadaan Najib? Rasanya tidak juga. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada kalangan rakyat yang tidak sedar Najib tidak ada dalam negara. Masing-masing hanya menyedarinya setelah dihebohkan dengan foto beliau bersama Obama semalam (25 Disember).
Biarlah kita ketepikan Najib dan percutiannya seketika. Marilah kita kembali ke Malaysia. Eh! Lupa pula. Najib ada Timbalan rupanya. Jika Najib yang tiada dipersoalkan, kenapa Timbalan Perdana Menteri yang sibuk menguruskan masalah banjir tidak diendahkan. Semestinya Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berbuat sebaik mungkin dan akan terus berusaha pelbagai cara demi membantu mangsa banjir.
Selain Muhyiddin, negara ini mempunyai ramai lagi pemimpin serta agensi-agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan menangani bencana. Selain itu, dalam keadaan sebegini, agensi-agensi dan banyak pihak yang tidak berkaitan termasuk parti-parti politik, NGO serta pihak swasta juga akan turut membantu. Sewajarnya turut membantu!
Malah, Muhyiddin memberi jaminan, rakyat tidak perlu bimbang kerana beliau mampu menguruskan situasi banjir yang melanda negara terutama di Pantai Timur.
Beliau juga menegaskan bahawa percutian Najib tidak menjadi isu kerana beliau mampu melaksanakan tugas sepanjang ketiadaan Perdana Menteri itu.
Selain itu, Muhyiddin juga dilaporkan berkata bahawa Najib tidak pernah berlakon dan meminta supaya memberi peluang Najib berehat daripada menjalankan tugasnya.
Beliau juga mengakui ada sesetengah perkara atau kejadian sememangnya tidak pernah dijangka akan terjadi, dan memberi contoh, daerah Pengkalan Chepa, Gua Musang dan Kuala Krai adalah bukan kawasan banjir dan sebelum ini tidak pernah banjir.
Justeru, usahlah kita hanya menyalahkan Najib. Beliau juga tidak tahu keadaan akan menjadi seteruk ini dan jika darurat, masakan beliau tidak kembali segera.
Sewajarnya, segenap lapisan rakyat memberi penuh keyakinan kepada Muhyiddin untuk melaksanakan tugas beliau semasa ketiadaan Najib. Usah dipersoalkan lagi. Apakah kemampuan Muhyiddin diragui? Jangan begitu…
Banjir memburuk. Najib tiada dalam negara. Muhyiddin bertanggungjawab terhadap negara. Setiap rakyat juga bertanggungjawab membantu dalam apa cara sekalipun. Itu adalah hakikat sekarang.
Usah berdolak-dalik. Usah menuding jari pada orang lain. Ingat! satu jari menuding ke arah lain, selebihnya? Sudahkah anda menyumbang atau membantu semampunya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan