HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Disember 2014

Tuntutan DAP boleh akibatkan pembaziran wang rakyat - Penganalisis

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tuntutan DAP untuk jawatan Timbalan Speaker II hendaklah berlandaskan kepada keperluan dan bukan mengharapkan ganjaran politik semata-mata, kata penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan.
 
Katanya, sekiranya tiada keperluan untuk jawatan itu diwujudkan ia mungkin akan mengakibatkan pembaziran wang rakyat. 
 
"Saya rasa yang pentingnya ialah jawatan diwujudkan sekiranya ada keperluan bukannya semata-mata untuk ganjaran politik. Walaupun tak dinafikan semua parti politik di negera ini bagi jawatan ganjaran kepada kawan-kawan dia (Azmin).
 
"Sekiranya jawatan itu diwujudkan tanpa keperluan yang nyata, kita perlu nyatakan ia satu pembaziran. Dan ini bertentangan dengan apa yang selalu dijanjikan Pakatan Rakyat," katanya kepada Antarapos.
 
Kelmarin Menteri Besar Selangor Azmin Ali menolak dakwaan pernah berjanji untuk memberikan satu lagi kuota untuk jawatan Timbalan Speaker II kepada DAP.
 
Bagaimanapun menurut Azmin, tuntutan berterusan DAP bagi jawatan itu akan dibincangkan di Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
 
Ketika ditanya mengenai perbezaan mengenai Dewan Rakyat yang mempunyai dua Timbalan Speaker, Wan Saiful berkata sidang di Parlimen memakan masa yang panjang kerana banyak isu yang mahu dibincangkan dan mempunyai sejumlah 222 Ahli Parlimen.
 
"Parlimen ni ahli Dewan Rakyat ni 222 orang dan isu-isu yang dibincangkan panjang dan dalam tempoh persidangan juga panjang. 
 
"Kalau sekiranya kerajaan negeri Selangor nak membandingkan DUN Selangor dengan Dewan Rakyat, maka mereka kena tetapkan sesi itu sama panjang dengan Dewan Rakyat bersidang berminggu-minggu dalam setahun. 
 
"DUN kecil, persidangan tak sama panjang, jumlah agenda dibincang tidaklah sebegitu banyak, akta-akta yang dibentangkan, peraturan yang dibahas tidaklah sebanyak yang dibawa di Parlimen. (Jadi) perbandingan itu perlulah 'apple dengan apple'," katanya.
 
Terdahulu Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim memberitahu bahawa DAP wajar diberikan kerusi jawatan Timbalan Speaker DUN memandangkan parti itu menunjukkan kesetiaan penuh kepada PKR dan Pakatan sewaktu krisis menteri besar baru lalu.
 
Ng mendakwa Azmin pernah berjanji memberikan jawatan itu sebagai menunjukkan tanda penghargaan.
 
Tuntutan DAP itu tidak dipersetujui PAS Selangor selain mengingatkan DAP supaya menghentikan tuntutan mereka berhubung kerusi jawatan Timbalan Speaker II DUN Selangor.

Tiada ulasan: