Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN]
Sepanjang 17 tahun Anwar Ibrahim bergiat dalam Umno, daripada seorang
ahli biasa hingga menjadi Timbalan Presiden parti itu, beliau
dikurniakan sekurang-kurangnya 10 gelaran Dato’ dan Datuk Seri.
Hampir kesemua gelaran berkenaan mula diterimanya dalam tempoh bermula
1990 hingga 1995 walaupun beliau menyertai Umno pada 1981. Sebelum itu
Anwar dikhabarkan enggan menerima sebarang darjah kebesaran atas dasar
prinsip.
Beliau dikatakan memegang prinsip mahu berkhidmat seberapa ikhlas dan
tulus mungkin tanpa sebarang darjah kebesaran dan gelaran. Beliau lebih
selesa dipanggil Encik atau Yang Berhormat sahaja.
Tanpa gelaran Anwar mempamerkan betapa tangkas dan ikhlasnya beliau
memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat. Idealisme belia dan sosialnya
cukup menyerlah.
Bagaimanapun peningkatan derasnya dalam tangga kuasa Umno dan kerajaan
akhirnya membuat Anwar akur demi menghargai penghormatan yang
ditawarkan, beliau wajar menerima pelbagai gelaran dan darjah kebesaran
daripada beberapa Sultan dan Raja serta gabenor.
Penghargaan yang dilimpahkan kepada beliau sebenarnya bersandarkan
ketrampilan dan sikap ikhlas yang dipamerkannya. Justeru, meskipun
beliau kemudian mendakwa ada pihak politik cuba “mempariahkan”nya dalam
gelanggang siasah, tiada satu institusi di raja yang menarik balik
penghormatan yang dikurniakan kepadanya.
Bagaimanapun agak memeranjatkan apabila Sultan Sharafudin Idris Shah
kelmarin mengumumkan penarikan gelaran Dato Seri Setia Selangor yang
dianugerahkan kepada Anwar pada 1992.
Asas tindakan itu ialah kerana Anwar sudah tidak lagi sesuai
menyandang gelaran itu. Dewan Diraja Selangor menghakimkan bahawa
“tindakan dan perlakuan beliau sejak akhir tahun 2013 yang mempersoalkan
kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor dan institusi Raja” mendorong
kepada keputusan di raja itu.
Kelakuan Anwar yang nyata mendorong pengguguran kelayakannya
menyandang penghormatan itu dilihat berhubung rapat dengan kemelut
pelantikan menteri besar tahun ini.
Anwar juga didapati berkelakuan yang bercanggah dengan kewibawaan
institusi raja dalam “hal-hal yang berkaitan isu-isu agama Islam di mana
telah dimaklumi umum bahawa Sultan mempunyai kuasa eksekutif dan
sebagai Ketua Agama seperti termaktub di bawah Undang-undang tubuh
kerajaan Selangor 1959”.
Di segi politiknya, keputusan Diraja itu mungkin tidak meninggalkan
kudis dalam kerjaya politiknya kerana beliau masih bebas menggunakan
gelaran Datuk Seri bersandarkan anugerah daripada beberapa Sultan, raja
dan gabenor lain.
Namun di segi moralnya, Anwar seharusnya diinsaf bahawa Sultan
Selangor sudah tidak berkenan dengan tindak tanduk politiknya yang
secara langsung atau tidak menjejaskan wibawa kesultanan Selangor.
Keputusan lucut gelaran dibuat secara tertib
Namun keputusan diraja itu tidaklah dilakukan secara semberono. Malah
diambil secara tertib. Pertama ia adalah hasil pemantauan sikap dan
gelagat politik Anwar.
Kedua, langkah diraja amat prihatin akan adab tidak mencampuri ehwal
politik. Meskipun Anwar Ketua Umum parti PKR, Dewan Diraja lebih
mengutamakan soal kesejahteraan dan kewibawaan kerajaan negeri Selangor
yang membabitkan politik PKR secara langsung.
Naluri politik akan pasti menyebabkan pihak istana akan keberatan
meletakkan kepercayaan kepada parti Anwar menerajui kerajaan Selangor.
Namun soal gelagat politik Anwar yang kurang menyenangkan istana tidak
mempengaruhi neraca pertimbangan istana.
Ketua Pembangkang itu seolah-olah mahu “memaksa pihak istana Selangor”
supaya usah memilih siapa yang layak menjadi menteri besar tetapi
sekadar mengabsahkan sahaja kehendak Anwar yang hanya mahu presiden PKR
ditabal menjawat kerusi berkenaan.
Kebijaksanaan Sultan seolah-olah dipinggirkan Anwar dengan lantang
menyindir dalam banyak ceramah politiknya bahawa jika diturut titah
Sultan, maka pada masa hadapan setiap kali mahu dilantik perdana menteri
beberapa nama harus dicalonkan.
Sindiran itu menggambarkan seolah-olah adalah kurang bijak bagi Sultan
menegaskan bahawa baginda mahu diberi hak memilih siapa yang lebih
layak memimpin pentadbiran di negeri baginda.
Namun Sultan Selangor menghargai ketertiban. Baginda hanya mahu yang
terbaik untuk negeri dan rakyat baginda. Maka baginda memilih supaya
kemelut menteri besar diselesaikan terlebih dahulu.
Meskipun berhak memilih sesiapa sahaja yang pada firasat baginda layak
menggalas jawatan itu, baginda masih menghormati citarasa rakyat
Selangor yang memilih pakatan PAS, DAP dan PKR yang memutuskan untuk
menyerahkan amanah memimpin Selangor kepada calon daripada PKR.
Baginda Sultan berhak memilih calon PAS menjadi menteri besar kerana
ia memiliki 15 kerusi DUN, sama banyak dengan DAP.Namun DAP tidak layak
kerana tiada calon menteri besar Islam dan Melayu.
Pun begitu baginda tidak berhemah demikian dan sebaliknya memilih
wakil PKR, Azmin Ali, walaupun partinya hanya mempunyai 13 kerusi DUN.
Ini jelas mempamerkan betapa baginda menghormati adab politik.
Tindakan Baginda bukan hukum Pakatan
Lantas rumusan yang boleh diambil dalam meneliti hemah Sultan ini
ialah baginda tidak mahu menghukum PKR dan Pakatan Rakyat hanya kerana
gelagat politik Anwar.
Setelah melangsaikan tanggungjawab melantik menteri besar baru
(meskipun baginda berfirasat bahawa mantan menteri besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik), sebagai
raja berhemah sikap semberono PKR mahu menukar pimpinan pemerintahan
Selangor baginda restui jua.
Setelah mustaed urusan dan tanggungjawab hakiki baginda pada 23
September lalu dalam isu menteri besar ini, barulah baginda mengumumkan
penarikan balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Anwar 1992.
Soal mendisiplinkan Anwar hanya diambil setelah ketenteraman politik
Selangor pulih. Titah perintah baginda terhadap “ketidasesuaian” Anwar
dikuatkuasakan pada 3 November lalu.
Namun baginda tetap menepati ketertiban dengan memastikan titah itu
digazetkan terlebih dahulu pada 20 November. Dalam suasana tenang, maka
pada 4 Disember baharulah keputusan diraja diumumkan.
Mesej diraja ini jelas. Sebagai seseorang yang dititah “tidak sesuai”
memikul tanggungjawab dan darjah kebesaran Selangor, Anwar seharusnya
faham beliau juga kurang sesuai mengambil bahagian dalam pentabdbiran
negeri walaupun sebagai Penasihat Ekonomi. Anwar lebih wajar berundur.
Namun reaksi Anwar sebaliknya mewajarkan keputusan Dewan Diraja
Selangor. Dengan selamba dan berbaur keangkuhan Anwar berkata beliau
tidak pernah meminta darjah dan kebesaran, termasuk dari Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan