HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Februari 2015

Azmin perlu utamakan rakyat Selangor

Oleh Shawaliah Hadir
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Azmin Ali perlu bijak memilih keutamaan dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Selangor, kata Penganalisis Politik Profesor Dr Martadha Mohamad.
 
Ujarnya Azmin harus lebih peka pada isu semasa yang berlaku di Selangor sebelum ghairah menonjolkan keprihatinannya kepada rakyat negeri lain.
 
Beliau berkata demikian mengulas tragedi malang yang menimpa seorang kanak-kanak berusia 5 tahun yang maut selepas jatuh daripada tingkat enam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, akibat pagar reput.
 
Tragedi kanak-kanak jatuh akibat pagar mereput di PPR ini bukan kali pertama. Kejadian yang sama sudah berlaku pada Jun 2013, namun tetap tidak diendah kerajaan negeri dan pihak berwajib.
 
Azmin tidak turun padang kali ini, tidak seperti semangat membaranya ketika masuk longkang, memijak timbunan sampah sarap dan meredah sawah bendang seperti yang dilaporkan kebanyakan media.
 
Walhal penduduk PPR berkenaan berkali-kali membuat aduan kepada pihak berwajib sehinggalah mengorbankan nyawa kanak-kanak yang tidak bersalah.
 
"Saya berpendirian tidak mustahil kes-kes yang sama juga turut berlaku di kawasan PPR ini jika tindakan susulan tidak diambil dengan segera," katanya kepada Antarapos.
 
Ujar Marthada, sikap prihatin Azmin ketika mengunjungi mangsa banjir di Kelantan amat diperlukan dalam isu ini.
 
"Tumpuan sebenarnya kepada negeri Selangor itu sangat perlu, kalau kita lihat beliau menunjukkan keprihatinan membantu mangsa banjir di Kelantan, kita puji sifat itu. 
 
"Namun dalam masa sama keprihatinan itu juga perlu ditunjukkan dan disalurkan kepada masyarakat di negeri Selangor di bawah pentadbiran beliau," katanya.
 
Martadha selain itu menambah, bukan hanya bencana besar yang perlu menjadi fokus seorang menteri besar sebaliknya namun isu-isu kecil sekalipun berhak mendapat perhatian Azmin.
 
"Sebagai seorang Menteri Besar beliau sepatutnya mengambil kira semua masalah yang berlaku bukan hanya yang besar tetapi yang kecil kerana kita tahu bahawa antara perkara penting yang beliau uar-uarkan ketika mula menjadi MB ialah menunjukkan bahawa beliau begitu prihatin.
 
"Sepatutnya di dalam memastikan bahawa kebajikan masyarakat itu terjaga sepatutnya beliau memberi perhatian kepada semua isu yang membabitkan masyarakat dan dalam konteks yang terbaru apabila kanak-kanak jatuh daripada bangunan maknanya isu ini perlu disiasat secara menyeluruh dan beliau perlu mengambil tindakan tegas terutama memanggil PBT yang terlibat," tambahnya.

Tiada ulasan: