HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Februari 2015

Dr MAZA ikrar terus lantang walau jadi mufti

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kembali diangkat menjadi Mufti Perlis lantikan kedua berikrar akan konsisten dengan sikapnya yang lantang dalam menyuarakan pandangannya berhubung sesuatu isu.
 
"Insya-Allah, dan rakyat Malaysia boleh tengok," katanya ringkas ketika dihubungi Antarapos.
 
Hari ini adalah hari pertama Dr Asri memulakan tugas kali keduanya sebagai mufti selepas meletakkan jawatan tersebut enam tahun lalu.
 
Dr Asri yang lebih dikenali sebagai Dr MAZA dikenali umum sebagai seorang yang lantang dalam memberikan pendapat atau reaksi berhubung sesuatu isu, walaupun ada kalanya pandangan yang disuarakannya itu tidak selari dengan tokoh agama lain. 
 
Paling penting, pandangan dan kritikan yang disuarakan Dr Asri juga bersifat neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.   
 
Hal demikian membuatkan Dr MAZA amat popular dan dekat dihati pengikutnya.
  
Lantikan kali kedua ini adalah sebagai menggantikan Dr Juanda Jaya yang mengakhiri tempoh perkhidmatannya hujung tahun lalu.
 
Beliau yang memiliki PhD dari University of Wales dan Universiti Jordan, sebelum ini dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Juanda.
 
Pelantikan terbaru kali ini disambut dengan reaksi positif pelbagai pihak yang melihat ianya sebagai satu suntikan segar kepada institusi mufti.
 
Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah dalam status di Twitter mengucapkan tahniah kepada tokoh agama itu atas pelantikan berkenaan.
 
"Dr MAZA mempunyai satu aura dan karisma utk mnjadi mufti," tulisnya lagi.
 
Dr MAZA juga mengucapkan terima kasih di atas semua reaksi positif dan sokongan yang diberikan masyarakat di atas pelantikannya itu.
 
"Terima kasih, seluruh rakyat termasuk rakyat Malaysia di luar negara memberi dan menghantar pelbagai ucapan, tahniah dan sebagainya. Pelantikan mufti ini biasa saja, tapi sokongan yang diberikan itu saya ucap terima kasih banyak-banyak," ujarnya.

Tiada ulasan: