HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Februari 2015

Himpunan tiada sambutan, tapi kecoh bila Adam Adli ditahan

 
Pesanan Anwar jangan gusar, kerana perjuangan "kita belum selesai, kita akan melawan kezaliman".


Protest, Adam Adli, PKR, Pakatan Rakyat


PETALING JAYA: Pastinya pihak pernganjur Himpunan #KitaLawan bagi menunjukkan solidariti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi sangat kecewa kerana hanya dihadiri kira-kira 50 peserta.

Himpunan yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur itu, pada mulanya berlangsung secara aman, namun bertukar kecoh apabila salah seorang aktivis, Adam Adli Abdul Halim ditahan polis.

Adam Adli yang diiringi kira-kira enam anggota polis berpakaian biasa diarahkan ke Balai Polis Dang Wangi sebaik himpunan itu tamat.

Ekoran penahanan itu, peserta himpunan yang berada di pusat beli-belah itu kemudian berkumpul di depan balai polis berkenaan.

Tindakan polis menutup pintu pagar utama dengan dikawal rapi oleh kira-kira 20 anggota di bahagian dalam dan luar balai polis itu, menimbulkan rasa tidak puas hati peserta himpunan lalu mencetuskan kekecohan.

Ketika kekecohan tersebut, seorang lagi aktivis, Fariz Musa ditahan untuk dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Difahamkan, Adam Adli dan Fariz ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan mengikut Akta Perhimpunan 2012 kerana menganjurkan himpunan tersebut.

Himpunan hari ini adalah kali kedua dianjurkan selepas perhimpunan sama diadakan pada, minggu lalu yang juga tidak mendapat sambutan apabila hanya kira-kira 80 peserta yang hadir.

Walaupun dimeriahkan dengan Tarian Naga sempena sambutan Tahun Baharu Cina, himpunan yang disertai anak kedua Anwar, Nurul Nuha, itu tidak juga mendapat sambutan.

Nurul Nuha yang berucap menyeru supaya rakyat menentang kezaliman dan penindasan berkata, “Bermula dengan satu langkah. Pesanan ayah (Anwar) jangan gusar, kerana perjuangan kita belum selesai, kita akan melawan kezaliman.

“Kami akan terus beri tekanan dengan menganjurkan himpunan seperti ini untuk menegakkan keadilan,” tambahnya.

Tiada ulasan: