Kumpulan Forum Masyarakat Peduli Budaya
Indonesia (Formasbudi), dikatakan mendakwa popia atau lumpia merupakan
makanan khusus dari Semarang.
PETALING JAYA: Selepas kontroversi lagu ‘Rasa Sayang’, batik, wayang kulit dan tarian ngajat yang mengundang ketidakpuasan rakyat Indonesia apabila ia disenarai sebagai sebahagian warisan budaya Malaysia, kini giliran kuih popia pula.
Menurut laporan berita Awani, satu demonstrasi dilangsungkan baru-baru ini di hadapan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta baru-baru ini sebagai usaha untuk menghalang kuih itu disenarai sebagai masakan warisan Malaysia.
Kumpulan Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi), dikatakan mendakwa popia atau lumpia merupakan makanan khusus dari Semarang.
Turut dijelaskan dalam demonstrasi tersebut ialah asal usul popia yang dikenali lumpia oleh masyarakat tempatan di sana.
Ia dipercayai diasaskan oleh Tjoa Thay Joe, seorang lelaki keturunan Cina yang menetap di Semarang, yang kemudian menikah wanita pribumi bernama Mbok Wasi pada tahun 1870 lalu.
“Pada 17 Oktober 2014, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan telah menetapkan Lumpia Semarang sebagai warisan budaya nasional bukan kebendaan,” ujar Penyelaras Formasbudi, Rahmulyo Adiwibowo.
Dia juga menberitahu bahawa Pejabat Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Tengah dalam usaha untuk mengusulkan Lumpia Semarang sebagai warisan budaya dunia yang berasal dari Indonesia ke UNESCO.
Laporan Awani turut memetik, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim melalui Twitternya telah maklum tentang perkara tersebut.
Popia adalah sejenis kuih yang popular sebagai makanan tradisi di seluruh Asia Tenggara dengan persamaan yang jelas antara beberapa negara jiran seperti Filipina dan Vietnam. Ia juga sudah sebati dalam masyarakat Korea, Taiwan dan Hong Kong.
Merujuk kepada pengaruh kuih itu di Malaysia, ia dikatakan berasal seiring dengan kedatangan para pedagang Cina pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah kemasukan bersistematik komuniti tersebut sewaktu pendudukan British di Pulau Pinang dan Singapura pada abad ke-18.
Awani turut melapor, di China, popia merupakan hidangan tradisional yang dipercayai wujud sejak zaman Dinasti Jin Timur sekitar tahun 265 hingga 420 Masihi.
Persoalannya, apabila beberapa kumpulan pendesak di Indonesia dilihat sering kali memperbesarkan isu berkaitan hal-hal budaya etnik dan gastronomi yang didakwa milik mereka, mereka dikhuatiri gagal memahami sejarah sebenar penghijrahan etnik dan sosiobudaya di rantau ini.
Asimilasi budaya dan agama yang aktif wujud sejak berabad zaman telah memberikan beberapa identiti sama kepada seluruh penduduk Asia Tenggara dan sebahagian besar Asia.
Namun keengganan pihak tertentu bertoleransi dan memahami hakikat itu sering mencetuskan kontroversi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan