Enggan meminta maaf, bermakna beliau seorang yang tidak demokratik.
PUTRAJAYA: Gabungan Demi Malaysia (GDM) menuntut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ismail Sabri Yaakob meminta maaf kepada rakyat Malaysia di atas kenyataannya di Facebook yang dianggap tidak menghormati sensitiviti masyarakat.
Pengarah Eksekutif Lensa Anak Muda Malaysia, Safwan Anang menegaskan, Ismail perlu bertanggungjawab di atas kenyataan yang dianggap rasis itu.
“Jika Ismail tidak meminta maaf dia (Ismail) seorang yang tidak demokratik. Ismail tidak wajar menjadi pemimpin,” katanya kepada pemberita di hadapan Jabatan Perdana Menteri selepas menghantar memorendum kepada Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Saiful Azhar.
Tegasnya, pemimpin UMNO jangan mempermainkan isu perkauman sebagai modal politik.
“Tuntutan kami ini adalah mahu menunjukkan sifat sebenar pemimpin kerajaan. Jika pemimpin seperti Ismail tidak mahu meminta maaf, rakyat tidak perlu menyokongnya pada pilihan raya nanti,” jelasnya.
Sebelum ini Ismail telah membuat kenyataan di Facebooknya menggesa pengguna yang kebanyakannya Melayu agar memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang.
Sementara itu, Penyelaras SUARAM, Syukri Razab berkata, tindakan Ismail itu telah menimbulkan prejudis terhadap rakyat.
Beliau berpendapat tindakan Ismail memadam balik kenyataan di Facebooknya itu ibarat “baling batu sembunyi tangan”.
“Kerajaan tidak sepatutnya mempertahankan kenyataan Ismail kerana jika kita diam perkara ini akan terus merebak,” ujarnya.
Hari ini Lima NGO anak muda yang terdiri daripada Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA), Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pro Mahasiswa Universiti Malaysia (PRO M UM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menghantar memorandum ke atas kenyataan Ismail Sabri.
Selain tuntutan meminta Ismail Sabri meminta maaf dan meletak jawatannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menunjukkan ketegasan dengan sekurang-kurangnya menasihati pemimpin Kerajaan supaya lebih prihatin terhadap sensitiviti masyarakat.
“Sikap Najib yang bukan sahaja tidak menasihati, malah mempertahankan kenyataan rasis itu hanya akan mencemarkan lagi keharmonian kaum di negara ini,” dakwanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan