Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan mengharamkan akaun Instagram memuatkan gambar-gambar anak orang kaya di Malaysia.
Penafian itu dibuat susulan pengedaran kenyataan palsu @therichkidsofmalaysia (The Rich Kids of Malaysia) yang didakwa dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha.
"Kita menafikan sama sekali kenyataan ini dikeluarkan oleh Jakim," kata pegawai perhubungan awam jabatan itu Asiah Alkharib Shah.
Kenyataan palsu itu mendakwa akaun tersebut diharamkan kerana "sifat ujub, gambar di lokasi maksiat, dan gambar perempuan yang tidak menutup aurat".
Berikut kononnya alasan untuk 'mengharamkan' akaun di laman sosial perkongsian gambar itu.
"Gambar-gambar yang dimuat naik mempunyai sifat ujub atau riak yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
"Antara gambar-gambar yang dimuat naik memaparkan gambar perempuan yang tidak menutup aurat, dan aktiviti yang bertempat di lokasi maksiat.
"Ia juga mendedahkan maklumat kekayaan yang boleh menggalakkan jenayah dan memudaratkan pemilik gambar," kenyataan palsu itu dipetik.
Akaun @therichkidsofmalaysia setakat ini mempunyai lebih daripada 15,500 pengikut.
Kebanyakan gambar yang dimuat naik adalah gambar belia bercuti di luar negara, bergaya dengan kenderaan mewah dan gambar perempuan cantik di tempat mewah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan