Apa masalahnya jika pengguna ingin memboikot peniaga yang degil untuk menurunkan harga barang.
PETALING JAYA: “Jika ada pihak yang tidak menyokong kenyataan Ismail Sabri itu, beli sajalah pada harga barang yang dikenakan oleh peniaga,” tegas Yang Dipertua PERKASA Selangor, Abu Bakar Yahya.
Beliau yang menyokong penuh kenyataan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan yang bersifat peribadi itu tidak perlu diputar belit.
“Apa masalahnya jika pengguna ingin memboikot peniaga yang degil untuk menurunkan harga barang,” soalnya ketika dihubungi Free Malaysia Today.
Terdahulu Ismail Sabri dalam kenyataan di Facebooknya menggesa pengguna Melayu memboikot para peniaga Cina yang menjual pada harga mahal sedang harga minyak sudah turun.
Abu Bakar juga menyelar tindakan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang membidas kenyataan Ismail Sabri yang dianggap kenyataan kurang bijak.
Beliau mendakwa Ketua Pemuda MCA itu bukan tidak memahami kenyataan Ismail Sabri tetapi berpura-pura tidak faham.
“Saya sarankan semua pihak perlu memahami kenyataan Ismail Sabri sebelum mengutuknya. Kenyataan yang cuba diputarbelitkan ini hanyalah propaganda oleh orang yang anti terhadap Ismail Sabri,” dakwanya,
Abu Bakar juga mempersolakan adakah rakyat perlu diam sekiranya harga barang tidak mahu diturunkan.
“Ibarat jika kita kena ketuk, takkan kita tidak boleh lawan dan diam sahaja. Sekurang-kurangmya kita ingin mengetahui apa salah sehingga diketuk,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan