HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Februari 2015

Kerajaan yang gagal turunkan harga barang – PAS

 
Adakah ini bermakna Datuk Seri Ismail Sabri ingin menyeru rakyat agar memboikot kerajaan Malaysia.


Mahfuz Omar


PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar meluahkan kekecewaan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mengeluarkan kenyataan supaya memboikot perniagaan kaum Cina.

Ketua Penerangan PAS itu amat kesal dengan kenyataan Menteri itu di laman sosial Facebook semalam dan mendakwa ia sungguh tidak bertanggungjawab dan berunsurkan perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Mahfuz menegaskan tindakan memboikot itu sangat tidak wajar sedangkan masalah harga barang yang tidak turun tersebut berpunca daripada kegagalan pihak kerajaan sendiri untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

“Usahlah kerana ingin menutup kelemahan sendiri, orang lain pula menjadi mangsa. PAS menuntut pihak kerajaan sendiri menunjukkan contoh tauladan dalam menurunkan harga barang kawalan yang di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan iaitu harga gula, tepung gandum, minyak masak dan gas memasak,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, apabila barang kawalan tersebut diturunkan harganya, ini dapat meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Mahfuz juga mempersoalkan sehingga ke hari ini, kerajaan tidak pula menyatakan hasrat untuk menurunkan harga barang di bawah kawalan mereka.

“Adakah ini bermakna Datuk Seri Ismail Sabri ingin menyeru rakyat agar memboikot kerajaan Malaysia pula yang gagal menurunkan harga barang kawalan?,” soal beliau.

Sehubungan itu, PAS menyeru agar kerajaan dan para peniaga berusaha untuk melaksanakan kempen penurunan harga barang.

“Tatkala harga minyak petrol dinaikkan, harga barang turut dinaikkan atas faktor peningkatan kos pengeluaran dan pengangkutan. Jadi mengapa pula ketika harga petrol sudah jatuh, harga barang masih kekal di paras yang sama?” katanya.

Tegasnya, kerajaan perlu bertindak dengan lebih proaktif,agresif dan bersepadu dalam menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010.

“Akta tersebut bertujuan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga yang tinggi dan tidak munasabah, dengan tujuan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan.

“Peranan Majlis Penasihat Harga yang berfungsi untuk menasihati Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlulah diperkasakan lagi agar penilaian harga barang dapat dibuat mengikut keadaan semasa,” akhirnya.

Tiada ulasan: