IPOH - Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak (Maap) tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang menentang agama Islam.
Ketegasan itu disuarakan Ketua Penerangannya, Datuk Halim Ramli yang
menyifatkan laporan polis penceramah terkenal, Datuk Mohamad Kazim Elias
oleh individu bukan Islam sebagai perkauman.
Menurutnya, isu berkenaan tidak sewajarnya ditimbulkan semula kerana ia berlaku enam tahun lalu.
Katanya, tidak timbul isu mengaibkan kaum tertentu di negara ini kerana
kandungan ceramah disampaikan Ustaz Kazim itu menekankan isu pasukan
keselamatan, Ketuanan Melayu serta Kesultanan Melayu.
“Isu ini sudah lama. Lagipun pada masa itu pasukan keselamatan kita
dilabel dengan pelbagai gelaran tidak sepatutnya selain turut
diperkatakan mengenai isu ketuanan Melayu diganggu dan isu Kesultanan
Melayu dipertikai.
“Pada ketika itu, tiada satu pun tokoh politik menjawab isu-isu
berkenaan kecuali Ustaz Kazim, tambahan pula ceramahnya bertajuk ‘Daulat
Tuanku'," katanya ketika berucap pada himpunan 22 NGO di dataran Pusat
Pendidikan Al Barakah, kelmarin.
Hadir sama, wakil Maap, Pembela, Pertubuhan Kebajikan Melayu Bersatu
Perak, Maap Zon Utara Perak, Persatuan Kebajikan Persaudaraan Islam
Perak, ATF Perak, Papim Perak, Persatuan Pengguna Islam Malaysia,
Perkasa Perak, Pertubuhan Angkatan Muda Insaniah Malaysia, MJM Perak,
Galas, Pekida Malaysia, Pertubuhan Laduni, Pesaka Gayung Malaysia,
Putera Perak, Pondok Al-Jaafar Perak, Perkasa Manjung, Warga Melayu
Malaysia Sungai Petani, Sirah Malaysia Perak, Paduka Perak dan CFFGM.
Halim berkata, pihaknya dan semua NGO di negeri ini akan terus bersama
dengan Ustaz Kazim dan tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang
menentang Islam di negara ini.
“Kami dari Maap serta NGO lain tidak akan bertolak ansur dengan musuh-musuh yang mahu menentang agama Islam. Itu niat kita.
“Biarpun dipertikaikan nanti kerana kedatangan kami bukannya berjubah
atau berserban, tetapi dengan nawaitu untuk untuk agama, bangsa dan
tanah air,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan