PUTRAJAYA - Malaysia dan Indonesia bersetuju melantik wakil khas bagi
mengadakan perbincangan mengenai persempadanan maritim yang sudah
tertangguh sejak sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua pihak
juga bersetuju supaya jawatankuasa teknikal dipengerusikan oleh
Kementerian Luar kedua-dua negara sebelum ini diteruskan walaupun ia
sudah bermesyuarat sebanyak 26 kali, namun tiada kemajuan.
"Khusus soal persempadanan maritim, ini merupakan satu isu yang
kompleks dan agak lama tertunggak. Kami ambil maklum bahawa Jawatankuasa
Teknikal telah pun mengadakan mesyuarat sebanyak 26 kali tetapi belum
lagi dapat menunjukkan hasil yang boleh menunjukkan kemajuan yang
signifikan.
"Oleh itu, kami berdua bersetuju untuk meneruskan usaha penyelesaian
persempadanan maritim, berdasarkan pada dua trek (aliran) iaitu trek
jawatankuasa teknikal dan melantik perutusan khas bagi rundingan,"
katanya pada sidang media bersama Joko Widodo di Pejabat Perdana
Menteri, di sini, hari ini.
Menurutnya, perutusan khas itu akan mengadakan rundingan bagi mencari formula yang mungkin diterima pemerintah dan rakyat.
"Trek jawatankuasa teknikal yang melapor kepada Menteri Luar diteruskan
dan mesyuarat selanjutnya akan diadakan pada 26 Februari ini.
"Di samping itu, kami juga bersetuju untuk melantik perutusan khas
kerajaan Indonesia dan kerajaan Malaysia untuk mengadakan rundingan
secara penerokaan pada peringkat pertama untuk mencari satu formula yang
ada keberangkalian diterima oleh pemerintah dan rakyat," katanya.
Jelasnya, susulan rundingan itu kelak, jika menunjukkan tanda-tanda
positif, kedua-dua negara akan memulakan perbincangan secara formal.
"Sekiranya perbincangan ini menunjukkan tanda-tanda positif, maknanya
asas itu ada untuk dijadikan formula penyelesaian yang diterima
kedua-dua negara, maka kita akan mulakan bincang selanjutnya secara
formal.
"Dengan adanya dua trek ini, kita harap ada kemajuan yang positif.
Presiden Indonesia telah memperlihatkan kemahuan politik dalam mencari
penyelesaian. Begitu juga Malaysia," katanya.
Isu persempadan maritim Malaysia dan Indonesia mungkin perlu dirujuk
kepada pihak ketiga atau “international arbitration” untuk mencari
penyelesaian terbaik jika rundingan mengenai masalah itu terus
menghadapi jalan buntu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan