HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Februari 2015

Krisis harga minyak: Percaturan Geopolitik Kuasa Besar



Oleh AZAMIN AMIN 


KUALA LUMPUR: Percaturan kuasa-kuasa besar dunia terhadap pengeluaran harga minyak telah memberi kesan drastik kepada ekonomi domestik di negara seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima serpihannya.

Dalam situasi ini terdapat negara yang menikmati lebihan daripada harga minyak yang rendah dan pada saat yang sama, ada pula negara yang sangat sengsara.

Perubahan pada polisi sesuatu negara terhadap pengeluaran minyak secara langsung memberi kesan kepada negara-negara lain sama ada kesan itu datang dalam bentuk yang positif kepada ekonomi domestik ataupun sebaliknya.

Demikian pandangan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz 28 Januari lalu berhubung krisis harga minyak yang memberi kesan kepada negara.

“Dunia hari ini sudah pasti akan memfokuskan kepada dasar luar dan polisi semasa Arab Saudi kerana ia akan memberi kesan.

“Ia tidak hanya berkait soal ekonomi semata-mata, malah, segala percaturan yang berlaku adalah disebabkan faktor politik-ekonomi secara lebih mendalam.

Beliau merujuk krisis politik berada pada kemuncak seperti Perang Iraq-Iran 1980, Perang Teluk 1991 dan krisis ekonomi 1998 yang mana 2008, harga komoditi minyak naik pada paras USD147 setong.

“Dalam krisis hari ini, Rusia dan Iran menjadi sasaran, sama ada secara terancang mahupun tidak.

“Sekatan ekonomi kuasakuasa besar dunia terhadap dua negara ini semakin diperhebatkan manakala Arab Saudi, sekutu kuat Barat, melihat ini peluang terbaik untuk melumpuhkan ekonomi negara berkenaan,”katanya.

“Iran juga tidak ketinggalan menjadi mangsa akibat polisi luar biasa Arab Saudi terhadap pengeluaran harga minyak dan Presiden Hassan Rouhani menganggap tekanan ini adalah satu konspirasi menjatuhkan kepentingan masyarakat Islam seluruhnya.

Negara yang bergantung dengan hasil eksport minyak ini juga menjadi mangsa harga minyak mentah dunia yang rendah dan dalam masa yang sama bercadang untuk bersama Venezuela yang juga anggota OPEC untuk menstabilkan kembali harga minyak pada tahun ini, katanya.

Nik Abduh menyatakan bahawa hubungan tegang Rusia, Iran dengan negaranegara barat terutamanya Amerika dipercayai sebagai faktor utama berlakunya keadaan sedemikian.

“Arab Saudi tidak begitu terkesan dengan harga minyak mentah yang rendah meskipun ia adalah negara pengeksport terbesar minyak di dunia.

“Simpanan matawang luar Arab Saudi bernilai sekitar USD740 bilion dan itu sudah cukup kuat untuk menampung bajet defisit Arab Saudi jika kedudukan harga minyak terus kekal rendah,”katanya.

Atas dasar itu, kata Nik Abduh Arab Saudi terus kekal dengan pengeluaran minyak mentah dan ini sudah pasti mendapat ‘restu’ Amerika Syarikat yang pada masa yang sama adalah negara pengguna minyak terbesar dunia.

Tiada ulasan: