Md Alwi Che Ahmad Md Alwi Che Ahmad
 
 
KOTA BHARU - Rakyat tidak sepatutnya menyalahkan kerajaan semata-mata dalam isu memerangi pihak yang tidak menurun harga barang, sebaliknya menggunakan kuasa pengguna bagi memberi tekanan kepada pihak yang berkaitan.

Ketua Penerangan BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, setiap keputusan yang dibuat kerajaan tidak akan menjadi sekiranya ia tidak mendapat sokongan rakyat.

Sambil menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri, Alwi berkata, peniaga-peniaga berkenaan dilihat bersikap kapitalis biarpun kerajaan membantu rakyat dengan menurunkan harga petrol.

Katanya, tindakan peniaga tersebut seolah-olah menunjukkan kepada umum bahawa mereka  memegang kuasa ekonomi yang secara langsung menekan rakyat dengan cara tidak menurunkan harga barang.

"Secara tidak langsung tindakan ini membuatkan rakyat benci dan marah kepada kerajaan kerana gagal mengawal harga barang.

“Oleh itu, saya sarankan gunakan kuasa  pengguna untuk turunkan harga seperti boikot dan sebagainya. Pengguna majoriti manakala peniaga adalah minoriti. Tentu kuasa majoriti mampu mengatasi suara minoriti," katanya semalam.

Alwi yang juga Adun Kok Lanas berkata, hakikatnya apa yang diperkatakan ini bukan melibatkan bangsa sebaliknya semua rakyat terkesan lebih-lebih lagi golongan yang kurang berkemampuan.

Dalam pada itu Alwi mencadangkan kerajaan mengarahkan  syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) menurunkan kadar tarif elektrik, air dan tol sebagai langkah menyokong keputusan kerajaan.

"Kementerian pengangkutan perlu menurunkan kadar tambang pengangkutan awam yang secara tidak langsung akan dapat mengurangkan kos-kos lain,"katanya.

 Dalam masa yang sama beliau turut kecewa dengan tindakan MCA yang  bersama dengan DAP dengan membuat kenyataan yang sama sekali tidak melambangkan semangat setiakawan.

“Tindakan pemuda MCA seolah-olah mereka tidak kenal siapa kawan dan siapa lawan. Saya percaya masyarakat Cina juga akan mendapat faedah daripada tekanan yang dibuat oleh orang Melayu yang menjadi majoriti pengguna,”katanya.