HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Februari 2015

Orang Syiah pernah jadi PAS




Oleh Subky Latif 


DALAM PAS ramai yang minat Ayatullah Khomeini, pelopor Revolusi Islam Iran dan ramai yang pro-Iran, tetapi kebanyakannya tidak jadi Syiah.

 Untuk mengatakan tidak pernah ada orang Syiah jadi PAS pun tidak betul juga, kerana pernah ada orang Syiah jadi PAS dan bergiat dalam PAS. Dan antara pernah menjadi ketua Syiah pernah jadi PAS malah pernah menjadi calon.

Dia jadi calon sebelum dia jadi Syiah. Tetapi setelah terang dia orang kuat Syiah, dia tidak boleh kekal lagi dalam PAS kerana PAS menolak ajaran Syiah kecuali ajar an revolusinya menentang Israel dan mustakbirin Amerika serta sikap tegas dan kerasnya untuk membebaskan Masjidil Aqsa.

Apabila penampilannya sebagai orang Syiah adalah jelas, maka dia tersisih dari PAS dan saya pun tahu di mana dia.

Salah seorang yang dikatakan pemimpin Syiah dari Kedah, jika tidak salah memang pernah bergiat dalam PAS di Perak. Kerana dia sedap bercakap, ramai peminatnya.

Dia pun mengadakan kuliah tetapnya dihadiri ratusan. Apabila dia terasa orang menyokongnya, dia cuba membuat kumpulan sendiri yang tidak sesuai dengan pandangan PAS.

Orang yang meramaikan ceramahnya ialah orang PAS. Bila mereka rasa ia tidak sesuai dengan PAS, orang PAS tidak hadir lagi. Dia pun hillang dan kemudian terkenal antara orang pen ting Syiah.

Seorang pensyarah yang banyak membantu PAS pernah saya tolong keluar negeri kerana seminar yang dianjurkan oleh Iran. Setelah jelas dia tertalu pro-Syiah, orang-orang PAS tidak rapat lagi dengannya.

Seorang tok guru yang ramai muridnya jadi ulama dan pembesar memang orang PAS sejak di Mesir bersama Prof Zulkifli Mohamad, kerana kagumnya kepada Imam Khomeini sentiasa mensifatkan pemimpin Iran itu sebagai tok ayah. Kami pernah berbuka puasa di kediaman duta Iran.

Semasa hendak solat Maghrib, tiba-tiba tuan rumah menyediakan batu lapik sujud yang digunakan oleh penganut Syiah.

Dia pun ambil batu itu dimasukkannya ke dalam poket. Dia pun mengimamkan solat.

Heboh di pejabat PAS mengatakan tok Guru itu meanggunakan batu untuk alas dahinya semasa sujud. Yang ramai jadi makmumnya ialah orang PAS termasuk saya. Pemimpin tanya saya hal itu.
Jawapan saya ialah dia ambil batu, dimasukkannya ke dalam poket sebelum jadi imam.

Demikianlah prihatinnya pemimpin PAS dan orang PAS akan ibadat yang menyamai Syiah. Tok guru itu tidak lagi jadi orang penting PAS.

Isu orang PAS jadi Syiah pernah heboh semasa saya jadi Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.
Pemimpin PAS minta saya bertindak. Jelas pada saya dua orang aktivis penting PAS adalah Syiah. Saya nasihatkan mereka supaya tidak pegang apa-apa jawatan. Mereka boleh sokong dan tolong PAS dari luar.

Tindakan saya dikritik oleh setengah orang. Tetapi tuan badan bersetuju dengan saya kerana tindakan saya itu mengiktiraf mereka sebagai orang Syiah dan orang pun tahu mereka rupanya orang Syiah. Sampai sekarang keduanya baik dengan saya dan mereka terus menyokong PAS kerana PAS menentang Umno.

Yang orang Umno bising kononnya orang PAS jadi Syiah ialah kerana orang Syiah tidak menyokong Umno. Adapun akidah orang PAS adalah bersama ahli sunnah wal jamaah yang kuat mazhab Syafienya. Bukan saja orang PAS tidak menerima Syiah, malah Wahabi dan Salafi pun mereka tak suka.

Bila Jamil Khir Baharom menyambut imam Makkah melawat Malaysia, ada yang kata dia pro-Wahabi. Isu ustaz Wahabi pun PAS di kalangan masyarakat sekarang. Kalau orang Melayu tak terima Wahabi, lagilah mereka tak terima Syiah.

Penolakan Melayu terhadap Syiah telah jelas dalam pendidikan di sekolah-sekolah lagi. Tidak perlu lagi PAS beritahu kerana semua orang tahu. Ibu bapa sudah beritahu anak-anak mereka di rumah tentang Syiah sama seperti mereka beritahu tentang Kristian dan Yahudi.

Seorang India tanya saya mengapa PAS tidak tentang Syiah?

Jawab saya, kalau PAS tak cakap pun orang Islam Malaysia tak terima Syiah sama seperti PAS tidak cakap apa-apa tentang Kristian dan Yahudi, semuanya tahu tentang Kristian dan Yahudi.

Kalau PAS tidak berbalah dengan Syiah, samalah dengan dasar PAS berbaik dengan semua penganut agama sekarang. Kami berbaik dengan orang Buddha, Hindu dan Kristian kerana kita tahu jarang sangat orang Islam masuk Buddha dan masuk Hindu. Kalau kita berbaik dengan penganut semua agama, mengapa kita tidak boleh berbaik dengan orang Syiah?

Lagipun orang Syiah yang menyokong revolusi Islam Iran itu adalah orang tidak sukakan Umno kerana Umno menolak pemerintahan Islam. Walaupun Islam Syiah tidak sama dengan Islam, tetapi menolak pemerintahan Islam tidak disukai oleh Syiah. Buat apa kita berperang dengan orang yang menentang Umno. Orang India itu kata, itu satu politik baik.

Umno memang suka supaya PAS berkelahi dengan semua orang. Kalau PAS berkelahi dengan Syiah, Syiah tidak masuk pilihan raya. Dari segi politiknya rugi. Kita mesti tumpukan tentangan kepada orang yang masuk pilihan raya saja. Kalau kita berlawan dengan semua orang tidak masuk piliihan raya, maka siapa lagi mahu bersama kita untuk menentang Umno.

Umno yang terang-terang menentang Syiah itu belumlah tentu Islamnya betul kerana ia jelas tidak mahukan hudud dan syariat. Cuma ia tidak disebut anti hudud dan anti syariat saja. Saya orang PAS yang pertama ke Iran selepas Shah tumbang.

Saya dengar di jalan raya laungan “Khomeini rahbar.” Saya tanya, rahbar itu apa? Jawab mereka kalimah Parsi itu bererti pemimpin atau penganjur. Bila saya balik saya ambil kalimah Parsi itu jadi nama anak saya, tetapi saya tidak ambil Syiahnya.

Bila anak saya besar, dia tidak jadi Syiah tetapi dia terangkan kepada orang yang mengaji dengannya tentang Syiah itu bercanggah dengan ahli Sunnah wal Jamaah. Bila saya dan isteri naik haji, semua masa di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah penuh sesak, tiada ruang untuk mencelah walaupun seorang.

Isteri saya tahu di mana dia hendak duduk di tengah orang ramai itu. Dia menuju tempat yang ramai jemaah Iran. Dia lalu menegur wanita Iran yang juga Syiah itu, “Iran?”

Mereka mengangguk. Dia bertanya lagi, “Khomeini?” Sambil meletakkan tangan kanannya ke dada. “Ya! Ya!” Balas mereka riang. Mereka pun membuka ruang bagi isteri saya duduk di sebelah mereka.

Tempat duduk sementara menunggu solat waktu tidak ada masalah lagi. Begitulah isteri saya sepanjang di Masjidil Haram dan di Masjid Nabi di Madinah. Harihari dia duduk di tengah wanita Syiah. Tetapi bila balik dari Makkah dia tidak membawa Syiah ke rumah.

Apabila kami dapat cucu sulung perempuan, kami minta anak, Rahbar yang diambil dari gelaran buat Khomeini itu mencari nama yang baik bagi cucu itu. Dia pun memberi satu nama dari kalimah Parsi iaitu Naznin.

Saya tidak ingat ertinya. Maka cucu saya juga menggunakan nama bahasa Iran yang ditutur oleh orang Syiah. Bila kami hadir ke satu majlis kenduri, cucu itu baru boleh berjalan. Masingmasing memanggilnya, “Naznin! Naznin!”

Seorang wanita muda bukan Melayu mendengar nama itu disebut.

Dia memerhati penuh minat.

Dia mendekati Naznin. Rupanya wanita itu juga bernama Naznin datang dari Iran. Saya selalu melihat di stesyen TV CNN seorang penyiar tentang Asia Barat juga namanya Naznin.

Kami ambil dan pungut kalimah yang baik dari bangsa yang menganut Syiah. Tetapi tidak mengambil Syiahnya. Isteri saya meletakkan tangan kanan ke dada semasa bertegur dengan orang Syiah, maka janganlah disangka kami juga sudah menjadi Syiah.

Tiada ulasan: