Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN]
Selepas ini sebarang hujah dan alasan bahawa kerjasama DAP dan PAS akan
membawa kesejahteraan dan keharmonian bagi rakyat Malaysia adalah satu
hipokrasi dan permainan wayang politik belaka.
Memang sejak awal penubuhan Pakatan Rakyat, pemimpin kedua-dua parti
itu lantang dan yakin menegaskan bahawa soal perbezaan ideologi politik
di antara kedua-dua parti itu tidak akan menghalang kerjasama di antara
mereka.
Malah bagi menyemarakkan propaganda membenci kerajaan Barisan Nasional
(BN), mereka juga mengisytiharkan bahawa paksi kerjasama mereka ialah
kempen memerangi kemungkaran politik, sistem keadilan dan ekonomi BN.
Sedihnya, pendirian tegas itu kini mulai goyah. Keyakinan terhadap
keikhlasan rakan politik masing-masing itu mulai merosot. Malah baik DAP
mahupun PAS mulai mengumpul hujah untuk “memperkecilkan” keupayaan
sahabatnya.
Asas perpaduan politik serta rasa hormat di antara mereka semakin
menipis sehingga masing-masing saling gertak menggertak supaya sahabat
politik mereka itu meninggalkan Pakatan Rakyat.
Konsep konsensus atau persepakatan bersama yang menjadi piagam Pakatan
Rakyat semakin luntur. Retorik “bersetuju untuk tidak bersetuju”
mencetuskan kekecewaan dan ketegangan.
Apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mulai menyanggah
perancangan DAP mahu melaksanakan sistem pilihan raya Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT), pemimpin-pemimpin DAP mulai naik angin.
Sudahlah memang sebelum ini DAP menjeruk rasa akan kedegilan Hadi yang
keberatan dan acuh tidak acuh menyertai Mesyuarat Majlis Presiden
Pakatan Rakyat kerana sebab-sebab yang bukan menjadi rahsia lagi.
PAS pertikai rancangan DAP
Kini Hadi mula mempertikaikan pula inisiatif politik DAP mahu
menjadikan pilihanraya PBT sebagai batu loncatan memastikan Pakatan
Rakyat berjaya menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum ke-14 kelak.
Bagi
DAP strategi PBTnya ini cukup ampuh. Berbeza dengan strategi Rafizi
Ramli dari PKR yang mencongak jika Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar
Ibrahim dapat dinobatkan sebagai Menteri Besar Selangor, masa depan
Pakatan Rakyat cerah.
Rafizi mencongak bahawa Anwar berupaya menerajui Selangor untuk
menjadi dalil dan bukti bahawa Pakatan Rakyat mampu mentadbir Malaysia
lebih baik berbanding BN.
Rafizi menyasarkan satu kemenangan ajaib di Kajang sudah cukup untuk
menjamin masa depan Pakatan Rakyat menjadi pemerintah. Malangnya, PAS
tidak begitu teruja dengan strategi simplistik Rafizi itu.
Bagaimanapun strategi DAP nampaknya lebih berpijak di bumi nyata.
Hujahnya lebih bernas dan model strateginya jauh lebih praktikal
daripada idea Setiausaha Agung PKR itu.
“Kejayaan pilihanraya PBT di negara-negara lain selalunya menjadi
pelopor kejayaan di peringkat nasional seperti yang dibuktikan dalam
pelantikan Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia.
“Selepas berjaya dalam pilihanraya umum tempatan dan membuktikan
prestasinya sebagai Gabenor Jakarta,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Lantas kritikan Hadi terhadap strategi DAP mahu mempengaruhi persepsi
rakyat mengenai keampuhan politik Pakatan Rakyat melalui kemenangan
besar dalam pilihanraya PBT, amat menjengkelkan hati Kit Siang.
Beliau tergiur dengan hakikat Bancian 2010, ada 148 PBT di Malaysia
yang terdiri daripada tiga Dewan Bandaraya, sembilan Majlis Bandaraya,
37 Majlis Perbandaran dan 99 Majlis Daerah.
“Sekiranya, Pakatan Rakyat serius mahu menawan Putrajaya pada PRU14,
ia mesti mempunyai keyakinan mendapatkan majoriti 148 PBT jika
pilihanraya kerajaan tempatan atau undi ketiga dikembaliknya,” katanya.
Bagaimanapun Hadi berhujah bahawa pilihanraya PBT akan meruncingkan
lagi perhubungan di antara kaum di negara ini kerana calon-calon bukan
Melayu akan mudah menang kerana mereka mendominasi demografi pengundi
bandar.
Kemenangan
dan monopoli bukan Melayu dalam PBT bandar pula akan memacu pembangunan
lebih deras di bandar yang akhirnya memberi manfaat besar kepada bukan
Melayu, jelas Hadi.
Keadaan ini akan meluaskan jurang ekonomi dan mutu kehidupan hingga
menimbulkan rasa cemburu dan tidak puas hati di kalangan rakyat yang
boleh mengundang berulangnya peristiwa 13 Mei 1969, tambah Hadi.
Berikutan itu bangkitlah Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke
meremehkan hujah Hadi mengapa beliau menolak strategi pilihanraya PBT
yang diperjuangkan DAP itu dengan menyifatkannya sebagi tidak lojik.
“Ini bukan 60an yang mana orang Melayu tinggal di pedalaman, India di
ladang dan Cina di bandar. Lihat di bandar utama di Malaysia, bukan
orang Cina sahaja yang menetap di situ. Melayu dan India juga ada,”
katanya.
Hujah DAP ini cuba diperkukuhkan oleh Kit Siang apabila beliau
berkata, peratus populasi Melayu di bandar di Semenanjung bertambah
daripada 21 peratus pada 1957 kepada 48.3 peratus pada tahun 2000.
Pada masa yang sama, katanya, peratus populasi Cina di kawasan bandar
pula menurun daripada 62 peratus pada tahun 1957 kepada 34.8 peratus
pada 2000.
“Inilah persoalan yang menjengkelkan saya satu dua hari ini, kenapa
(Hadi) tidak yakin PAS boleh cemerlang dalam pilihanraya PBT sekiranya
undi ketiga itu dikembalikan,” katanya.
Mungkin untuk melengkapkan hujah beliau dan partinya, Kit Siang
menonjolkan contoh-contoh kejayaan strategi pilihanraya PBT yang
dlaksanakan di beberapa negara Islam.
“Mahmoud Ahmadinejad dan Recep Tayyip Erdogan masing-masing merupakan
Datuk Bandar Tehran dan Istanbul sebelum menjadi presiden Iran dan
Turki,” kata Kit Siang.
Politik Melayu berpecah
Namun Hadi tidak kelihatan gundah dengan hujah-hujah DAP itu kerana
beliau insaf meskipun 43.8 peratus penduduk bandar kini adalah Melayu,
DAP tidak boleh menafikan di segi politik orang Melayu-Islam kini
berpecah tiga sekarang.
Mungkin Hadi menghidu ada kebenarannya hujah mantan Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohmad bahawa sfera politik Melayu hari ini sudah
berpecah kepada tiga blok sekurang-kurangnya – Umno, PAS, dan PKR.
Justeru tidak mungkin keputusan pilihanraya PBT umumnya akan memihak kepada kepimpinan Melayu.
Sebaliknya, jika trend pilihanraya umum ke-13 yang berlangsung pada
2013 di mana terbukti berlaku polarisasi kaum bukan Melayu kepada DAP
berkekalan, bermakna DAP akan meraih kemenangan besar.
Mungkin
Hadi sedar jika sentimen ini menjalar sampai ke pilihanraya umum ke 14,
kemenangan lumayan DAP dalam dalam Pilihan raya PBT pasti akan
melonjakkan lagi monopoli DAP dalam pungutan kerusi parlimen pula.
Natijahnya, undi Melayu terus berpecah. Kekuatan politik orang Islam
juga terus lemah. Dan, yang mungkin menggerunkan Hadi ialah, beliau dan
PAS yang menjadi penyumbang terbesar akan kedudukan ini.
Mungkin atas dasar pertimbangan itulah maka Hadi secara jujur
menggambarkan kemungkinan keseimbangan pembahagian nikmat ekonomi,
peluang kemajuan sosial dan juga politik akan mencetuskan sekali lagi 13
Mei.
Apapun, analisis sesetengah pihak bahawa Hadi dan PAS memilih strategi
enggan bekerjasama lanjut dengan rencana besar DAP ini kerana jengkel
sebagai membalas sikap krtikal DAP terhadap cita-cita hudud PAS, mungkin
ada asasnya.
Mungkin bukan niat Hadi mahu ingkar janji dokumen persefahaman Pakatan
Rakyat. Bagaimanapun mungkin beliau berfirasat bahawa memang ideologi
Islam PAS tidak mungkin boleh bekelamin dengan ide politik DAP.
Umumnya, PAS berjuang kerana Allah. Bagaimanapun DAP mengutamakan
kemenangan dan pembolotan kuasa. PAS diajar dan mengajar menyayangi
ummah. Bagaimanapun Pakatan Rakyat condong untuk memecabelahkannya.
Sudah tentu PAS enggan bersubahat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan