Dengan ribuan berkumpul, ternyata rakyat masih ingat Anwar.
KUALA LUMPUR: “Saya akan bawa mesej rakyat berkumpul hari ini kepada Anwar di penjara petang ini juga”, kata Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata dengan berkumpulnya rakyat untuk menuntut kebebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia menunjukkan rakyat belum lupa lagi kepada Anwar.
“Orang tak lupa Anwar. Hari ini kita lihat lautan manusia menentang kezaliman.
“Petang ini juga saya akan bawa mesej kepada Anwar yang sedang berada di penjara,” katanya kepada penyokong Anwar yang berkumpul di hadapan Kompleks Sogo.
Beberapa ribu penyokong Anwar berkumpul di hadapan Kompleks Sogo untuk menyatakan ketidakpuashatian tindakan kerajaan memenjarakan Anwar.
Sekumpulan penyokong Anwar juga sebelum itu berarak dari Masjid Jamek, Pasar Seni, Menara Maybank dan Ibu Pejabat PAS.
Pemimpin pembangkang yang turut serta dalam perarakan #Himpunan Kita Lawan ialah Naib Presiden PKR, Tian Chua, Shamsul Iskandar, Nurul Izzah Anwar, Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan Peguam, Ambiga.
Selepas menyatakan solidariti #Himpunan Kita Lawan di hadapan Sogo, mereka berarak pula ke Menera Berkembar Petronas (KLCC).
Sementara itu, Nurul Izzah Anwar berkata perjuangan oleh penyokong Anwar bukan untuk Anwar sahaja tetapi untuk rakyat menentang kezaliman.
“Kita akan terus tuntut untuk menentang kezaliman dan seperti kata-kata Anwar sebelum masuk penjara, “We Never Surrender”,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan