HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Mac 2015

Gubal enakmen bela hak khunsa

 
Menukar status jantina dan kebenaran menjalani pembedahan jantina diharuskan selepas mendapat pengesahan pakar yang memenuhi syarak.


Datuk-Abdul-Rahman-Osman


KUALA LUMPUR: Satu enakmen khusus perlu digubal bagi tujuan pengesahan jantina golongan khunsa untuk memastikan hak golongan ini  terbela.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abd Rahman Osman berkata, setakat ini belum ada satu enakmen khusus bagi tujuan pengesahan jantina dan ia satu perkara yang wajar diberi perhatian.

Dalam menangani isu khunsa, katanya, pihak berkuasa agama menyerahkan perkara tersebut kepada pihak perubatan kerana ia membabitkan perkara yang kompleks dan memerlukan nasihat pakar.

“Menukar status jantina bagi tuan punya badan dan kebenaran menjalani pembedahan jantina diharuskan oleh syarak selepas mendapat pengesahan daripada pakar sewajarnya.

“Peruntukan enakmen bagi pengesahan jantina juga perlu untuk tujuan perkahwinan, harta pusaka, kematian dan lain-lain isu berkaitan.

“Dalam isu berkaitan biologi, khususnya khunsa ghair musykil, kita menyerahkan pengesahannya kepada pakar. Dalam Islam, ia disebut Ijtihad iaitu hal-hal tertentu dirujuk kepada pakar yang beragama Islam, waras akal, mempunyai ilmu dan mahir dalam bidangnya.

“Sebaliknya, bagi individu yang dengan sengaja mengubah fitrah kejadian Allah tanpa pengesahan pakar adalah dilarang dan hukumnya haram,” katanya, lapor BH Online.

Beliau mengulas isu kecelaruan jantina dari perspektif agama dan hukum berkaitannya.
Abd Rahman berkata, terdapat beberapa kes khunsa sudah dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk tujuan pengesahan jantina selepas ia melalui ujian yang ditetapkan pakar.

Katanya, terdapat satu kes di mana keadaan fizikalnya lelaki tetapi memiliki sistem peranakan wanita dan dibenarkan melahirkan anak selepas pengesahan doktor menunjukkan dia lebih banyak mempunyai ciri kewanitaannya dan pembedahan dibuat supaya dia kelihatan seperti wanita normal.

“Hukumnya sama seperti seorang yang memiliki kecacatan kaki dibenarkan membuat pembedahan supaya dia kelihatan normal dalam masyarakat,” katanya.

Pakar Perundangan Islam, Datuk Zuhdi Ab Majid berkata, pengesahan jantina dalam Islam amat penting bagi membantu golongan yang dilahirkan dengan kecacatan gender tidak disisih oleh masyarakat.

“Kebanyakan pandangan ulama seperti yang terdapat dalam kitab fiqh lama lebih menumpukan kehadiran dua alat kelamin sebagai kriteria khunsa. Keadaan zahir adalah dasar utama dalam penentuan jantina bagi kebanyakan ulama.

“Tetapi pada zaman sekarang, perubatan sudah membongkar kecelaruan ini juga berlaku disebabkan pelbagai punca dan ada yang mengalami kecacatan organ dalaman seperti tiada rahim,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, dunia fiqh Islam perlu dikembangkan lagi mengikut tiga asas penentuan jantina iaitu fizikal, fisiologi dan psikologi.

Tiada ulasan: