Mereka ke Syria untuk berjihad dan menganggap Malaysia bukanlah negara Islam mengikut pemahaman mereka
PETALING JAYA: Berhijrah ke Syria untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) bagi tujuan ‘berjihad’ dilihat semakin menjadi-jadi dan membimbangkan.
Terbaru ialah apabila pihak berkuasa mengesan lapan pasangan yang dipercayai kini berada di negara bergolak tersebut termasuk bersama lima anak yang berusia satu hingga 12 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata suspek terbaru yang dikesan menyertai kumpulan IS ialah sepasang suami isteri serta seorang anak mereka berusia lima tahun yang berasal dari Pulau Pinang.
“Mereka ini berpegang kepada konsep perlu ke Syria untuk berjihad kerana Malaysia bukanlah negara Islam mengikut pemahaman mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.
Ayub Khan menjelaskan, keluarga yang baru tiba di Syria akan ditempatkan di sebuah apartmen di kawasan perumahan sama ada di Aleppo atau Raka.
“Isteri dan anak mereka akan diletakkan di sebuah apartmen manakala suami pula akan berlatih selama sebulan sebelum dihantar untuk berperang,” ujarnya.
Dalam satu lagi laporan yang lain berkenaan isu yang sama, seorang bapa yang lumpuh terkejut apabila diberitahu anak perempuan dan menantunya terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Ahmad Husin, 54, yang lumpuh separuh badan sejak lapan tahun lalu berkata, beliau langsung tidak mengetahui anaknya, Nor Mahmudah, 26, dan menantunya, Muhamad Wandy Mohamad Jedi, 25, kini berada di Syria.
“Saya seperti tidak percaya mereka boleh menyertai IS dan telah berada di Syria kerana setahu saya mereka berada di Pulau Pinang. Mereka juga amat jarang balik kampung,” lapor Utusan Online.
Menurut Ahmad, hubungannya dengan anak ketiga daripada empat adik-beradik itu agak renggang sejak dahulu lagi dan dia juga tidak mengingati hari terakhir mereka bertemu.
Katanya, dia hanya mengingati Nor Mahmudah pulang ke rumah untuk mendapatkan keizinan berkahwin dengan Muhamad Wandy yang berasal dari Durian Tunggal, Melaka.
“Ketika itu (Ogos 2014) saya mengizinkan mereka berkahwin dan menasihati agar mereka sentiasa menjaga keharmonian hidup berumahtangga.
“Selepas berkahwin mereka menetap di Pulau Pinang, hanya sekali dua sahaja pulang ke kampung dan sehinggalah ke hari ini mereka tidak pulang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan