HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Mac 2015

Ibu bawa kasut joging untuk Sirul

MALAYSIAKINI



 
 
 
Antara banyak-banyak benda, Sirul Azhar Umar yang disabit kesalahan membunuh Altantuya Shaariibu, hanya meminta dibawakan sepasang kasut sukan kepadanya di Australia.

"Dia (Sirul) minta pada saya bawa kasut joging, bersaiz lapan,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar yang menguruskan penerbangan ibu Sirul,Piah Samad, ke negara kanggaru itu.

Dalam sidang media sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di Sepang malam tadi, Mahfuz berkata Sirul mahu menggunakan kasut itu untuk memudahkannya bersenam.

Mahfuz juga menunjukkan kasut biru jenama New Balance itu kepada pihak media.

Sirul, bekas anggota polis elit itu kini berada dalam tahanan imigresen di Sydney.

Selain rombongan PAS dan Piah, keluarga Sirul disertai oleh saudara perempuan Sirul, Noriatin.

Piah hanya berdiam diri dalam sidang media itu. Namun jelas terpancar kesedihan di riak wajahnya.

Beliau yang memakai tudung ungu dan berbaju kurung warna yang sama motif bunga seringkali menundukkan wajah ketika kamera dihalakan padanya.

'Ibu rindu anak'

Mahfuz berkata pertemuan yang dipanggil “C4 (see for) yourself” atau pergi untuk lihat sendiri itu adalah “misi kemanusiaan” membawa ibu yang merindui anaknya.

“Saya harap semua pihak menghormati jiwa perasaan seorang ibu yang merindui anaknya,” katanya.

Selepas tamat sidang media itu, Piah menaiki kerusi roda sebelum Mahfuz menolaknya ke dalam balai perlepasan antarabangsa.

Mereka mendaftar masuk pada jam10 malam dan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH123.

Sirul pada 13 Januari lalu diputuskan bersalah membunuh Altantuya, wanita warga Mongolia,bersama Azilah Hadri. Mereka dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Persekutuan.

Sirul tidak dapat dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia kerana undang-undang Australia tidak membenarkan seseorang yang berdepan hukuman mati diekstradisi ke negara hukuman disabitkan.

Beliau kini menjadi perhatian dunia selepas mengugut untuk membongkar “segala-galanya” berhubung kematian warganegara Mongolia itu.

Ini kerana, walaupun hukuman dijatuhkan, motif pembunuhan itu sehingga ini masih tidak terungkai.
 

Tiada ulasan: