HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Mac 2015

Jet: Henti boros melampau, hidup rakyat derita






Oleh MOHD FAKHRULRAZI MOKHTAR 


KETIKA hanya berbaki seminggu sahaja lagi sebelum GST berkuatkuasa sepenuhnya di seluruh negara pada 1 April 2015, beberapa minggu yang lalu negara dikejutkan dengan pendedahan oleh Rafizi Ramli di Dewan Rakyat akan pemborosan melampau yang dilakukan pihak kerajaan berkaitan pembelian jet peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pembelian ini berlaku pada saat rakyat menderita akibat kenaikan kos sara hidup yang melampau dan nilai mata wang ringgit yang semakin jatuh, pihak kerajaan sewajarnya tidak terus menerus mengamalkan pemborosan dalam mengurus kewangan negara.

Kos pembelian jet peribadi serta kos penyelenggaraan yang menelan belanja hampir setengah billion ringgit bukanlah satu langkah kewangan yang bijak.

Dengan wang sebanyak itu, masih terlalu banyak kepentingan rakyat dan negara yang perlu diutamakan seperti menyelesaikan hutang negara yang meningkat sehingga lebih RM700 bilion ketika ini.

Tindakan ini jelas bertentangan dengan slogan ‘rakyat didahulukan’.

Perdana Menteri telah membuktikan bahawa dirinya merupakan pemimpin yang mementingkan keselesaan diri sendiri. Sikap sebegini pastinya bakal menyebabkan negara terjerumus ke kancah kegawatan ekonomi yang lebih parah.

Sudah sampai masanya, bukan sahaja rakyat keseluruhannya bangkit, malah kakitangan kerajaan juga perlu bertindak menghalang kegilaan pentadbiran Perdana Menteri yang terlalu mementingkan kepentingan peribadi berbanding kepentingan negara dan rakyat.

Saya memberi amaran kepada Perdana Menteri untuk tidak cuba mengalihkan isu ini dengan pemberian ‘gula-gula basi’ seperti bantuan BRIM dan seumpamanya kerana rakyat semakin celik dan tidak mudah diperbodohkan lagi.

Maka dengan ini, saya mendesak supaya pembelian jet ini dibatalkan serta-merta dan Perdana Menteri memohon maaf atas pembaziran yang telah beliau lakukan. –

Penulis ialah Bendahari Pemuda Pas Malaysia

Tiada ulasan: