Ketua Pembangkang ada hak dia. Ketua Menteri
Pulau Pinang juga ada hak dia. Kalau hari-hari tanya soalan urusan rasmi
kita ada masalah.
KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menjelaskan sebarang perbelanjaan yang dilakukan berkenaan pesawat eksekutif Airbus Coporate Jetliner (ACJ320) oleh kerajaan bukan untuk kegunaan peribadi.
Beliau berkata, dakwaan daripada pembangkang mengenai pesawat peribadi yang digunakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya bertujuan untuk memburukkan imej pemimpin kerajaan.
“Apa yang dibelanjakan bukan untuk Perdana Menteri, bukan untuk Timbalan Perdana Menteri, bukan untuk Yang Di-Pertuan Agung. Ini ialah harta kerajaan dan jumlah apa yang dinyatakaan (Rafizi) juga tidak tepat.
“Semua ini ialah kapal terbang yang dibeli untuk kegunaan orang-orang yang telah dibenarkan penggunaannya. Dulu Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawai pun menggunakan pesawat ini tetapi sekarang ini mereka tidak boleh menggunakannya lagi,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen BN-Arau berkata, sebarang penggunaan yang dibuat oleh Najib adalah haknya sebagai Perdana Menteri
“Apa sahaja penggunaan yang dibuat oleh Perdana Menteri adalah haknya sebagai Perdana Menteri. Ketua Pembangkang ada hak dia. Ketua Menteri Pulau Pinang juga ada hak dia. Kalau hari-hari tanya soalan urusan rasmi kita ada masalah.
“Adakah mereka (pembangkang) mahu saya tanya Lim Guan Eng tentang jumlah perbelanjaan minyak beliau setiap hari?,” soalnya.
Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 16 Mac lalu menjelaskan bahawa pesawat eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ320) dibeli untuk menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang telah berusia 16 tahun.
JPM berkata, kerajaan memperoleh ACJ320 melalui kontrak pembelian sewa beli untuk tempoh 15 tahun.
Pesawat BBJ itu akan dilupuskan bagi membiayai pembelian ACJ320.
Sementara itu mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berkata BN akan berpecah sekiranya Najib menyokong hudud, Shahidan berkata Rafizi hendaklah bimbangkan partinya terlebih dahulu berbanding BN.
“Jaga parti awak dan Pakatan yang kini berpecah belah umpama dilanda ribut taufan. Jangan kacau parti orang,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan