HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Mac 2015

Khalid jadi ‘pengadil’ laman sosial- GHAH

 
GHAH akan melancarkan satu kempen untuk menentang tindakan Ketua Polis Negara (KPN) yang dianggap mengancam pengguna di laman sosial


khalid ghah


PETALING JAYA: Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) hari ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar di atas tindakannya menahan beberapa ahli pembangkang berikutan insiden muatnaik komen di laman sosial.

GHAH dalam satu kenyataan media, memberitahu pihaknya akan melancarkan satu kempen mendesak pengguna Twitter supaya menentang tindakan Khalid yang dianggap telah mengancam penguna di laman sosial tersebut.

Dakwa GHAH, Khalid seperti ingin menjadi ‘pengadil’ di laman sosial dengan menahan beberapa ahli pembangkang di bawah Akta Hasutan sejak Ogos tahun lepas.

“Sebelum ini di laman Twitternya, Khalid telah mendesak supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat beberapa orang seperti kartunis Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali dengan panggilan Zunar, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan peguam Eric Paulsen kerana dianggap telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan,” petik kata kenyataan itu.

Jelasnya, media sosial seharusnya menjadi medium untuk pengguna berinteraksi dan menyuarakan pandangan-pandangan mereka.

“Seharusnya, kenyataan mereka itu perlu dilindungi dan bukan dikenakan siasatan di bawah Akta Hasutan.

“Kita mendapati tindakan Khalid bertentangan dengan demokrasi. Mengkritik atau mempersoalkan pihak-pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), PDRM dan badan kehakiman bukan satu jenayah tetapi ia sebahagian daripada suara atau pandangan dalam negara yang demokratik,” katanya lagi.

Justeru, GHAH menyeru supaya Khalid tidak berat sebelah dan bersikap profesional.

“Ini kerana Khalid sendiri pernah mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa mereka memang menyasarkan kepada pemimpin politik dan pemimpin-pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO).” jelasnya.

Tambahnya, Peraturan dan Polisi Twitter juga jelas telah menyatakan pengguna tidak mungkin dijadikan sasaran atau diganggu sekiranya tweetnya tidak berat sebelah dan menyebabkan ancaman.

“Tindakan KPN itu jelas telah melanggar peraturan-peraturan itu. Twitter seharusnya menjadi platform yang selamat bagi rakyat Malaysia untuk menyatakan pendirian mereka tanpa ada sebarang unsur ketakutan dan penindasan oleh KPN,” ujarnya.

Tiada ulasan: