Keputusan kerajaan untuk membuka akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membuktikan tidak ada apa-apa perkara yang perlu diselindungkan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan (gambar, kanan).
Beliau berkata Kabinet menyokong usaha kerajaan bagi memastikan akaun 1MDB disemak dan diselidik Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dipengerusikan Datuk Nur Jazlan Mohamed.
"Keputusan itu menunjukkan tidak ada perkara yang perlu diselindungkan. Tidak ada apa yang tak kena dengan 1MDB tetapi ia masih dibangkitkan dan menjadi isu politik yang keterlaluan," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Bukit Mertajam, hari ini.
Ahmad berkata 1MDB mempunyai 13 pengeluar tenaga bebas (IPP) iaitu empat di Malaysia dan sembilan di luar negara yang merupakan aset yang lumayan dari segi perniagaan. Ia juga mempunyai tanah yang luas dan strategik untuk membina sebuah bandar baru yang dikenali Bandar Malaysia dan sedang dalam proses membina Tun Razak Exchange (TRX), katanya.
"Kalau perkara positif dilihat dari sudut negatif, ia jadi negatif. Tetapi apabila bangkit dengan saman dan membuka akaun, ia akan membersih nama 1MDB pada akhirnya.
"Ia (1MDB) adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang berdaya saing dan maju tetapi diberi imej yang cukup negatif oleh pembangkang yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Di Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta semua pihak supaya tidak melemparkan sebarang tohmahan dan tuduhan yang melibatkan 1MDB memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.
Katanya, sebelum sesuatu perkara itu diberikan keputusan, semua pihak harus faham dengan situasi ini dan memberikan peluang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan.
"Perkara itu masih dalam siasatan dan kabinet bersetuju dengan keputusan perdana menteri mengenai peranan Ketua Audit Negara dalam hal ini," katanya.
Tengku Adnan, yang juga setiausaha agung Umno berkata, tindakan pembangkang terhadap 1MDB sedikit sebanyak menyebabkan rakyat termakan hasutan mereka.
"Saya tidak faham mengapa pelbagai tohmahan dilemparkan kepada 1MDB...namun ia hanyalah persepsi dan biarlah penyiasatan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Sukan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan 2015 hari ini. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan