Oleh Mohd Luttfi Abdul Khalid
PERBINCANGAN yang hangat mengenai hudud dan pembentangan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini, berjaya mencarik dan menanggalkan topeng yang selama ini melekat di wajah pemimpin-pemimpin pembangkang daripada DAP.
Ucapan-ucapan dan
kenyataan-kenyataan yang konsisten daripada pemimpin mereka hanya
mengesahkan apa yang selama ini terbuku di hati mereka dan diketahui
umum oleh masyarakat.
Bukanlah satu perkara yang begitu sulit untuk difahami bahawa pelaksanaan syariah Islam di Malaysia adalah satu perkara yang sama sekali tidak akan diterima oleh sebuah parti yang tunjangnya berakar umbi dalam ideologi sosialis sekular dan bersifat rasis dalam operasi parti dan keahliannya.
Hakikat bahawa kenyataan-kenyataan lantang para pemimpin DAP yang menentang perlaksanaan syariah di Malaysia tidak disanggah atau dikritik oleh pimpinan peringkat bawahan atau ahli-ahli parti sendiri adalah satu testimoni bahawa pendirian yang sama telah menyerap dan meresap ke dalam setiap peringkat parti DAP.
Sehingga
tarikh artikel ini ditulis, belum lagi kedengaran sebarang
‘penentangan’ terhadap kenyataan para pemimpin DAP. Kenyataan Ketua
Parlimen DAP (yang disusuli oleh anaknya adalah satu kalimat keramat
yang telah diwariskan ke bawah dan dihadam oleh ahli dan para pengikut,
tanpa kecuali.
Siapa yang berani menyanggah Dinansti Lim?
Sesiapa
yang mempelajari sejarah akan mendapati bahawa DAP adalah antara
seteru politik yang dihadapi PAS satu masa dahulu (selain UMNO, yang
senario ‘permusuhan’ itu belum dapat dihakis sepenuhnya). Akan tetapi,
karakter semula jadi di dalam wilayah politik boleh merubah sifat
kesetiakawanan sesuatu pihak – musuh boleh bertukar sekelip masa
menjadi kawan, demi mencapai maslahat siyasah masing-masing (sama ada
dalam jangkamasa pendek atau panjang).
Begitulah
yang berlaku di antara parti-parti PAS dan DAP. (PKR tidak layak
diambil kira kerana ia hanya berkisar di sekitar ‘perjuangan’ seorang
individu dan keluarganya untuk meraih simpati massa). Bagaimanapun UMNO
masih tetap dianggap musuh bersama (common enemy) yang perlu
disingkirkan dari Putrajaya. Sebarang perbezaan mengenai ideologi yang
mendasari agenda politik masing-masing boleh diselesaikan di meja
rundingan – selepas UMNO berjaya ditumbangkan dan Putrajaya jatuh ke
tangan gabungan parti-parti politik pembangkang!
Satu-satunya
perbezaan besar yang tidak dapat dipersetujui bersama adalah agenda
PAS untuk memartabatkan perlaksanaan syariah di Malaysia – HUDUD.
Mereka boleh bersatu dalam banyak hal, tetapi bukan dalam isu hudud.
Penentangan
yang paling ketara dan lantang datang daripada DAP sendiri. Ini tidak
menghairankan kerana ideologi sosialis sekular tidak akan membiarkan
Islam dan syariatnya mendominasi keadaan dan iklim politik mana-mana
negara sekalipun. Dan DAP sangat konsisten (dari dahulu hingga sekarang)
di dalam sikap dan pendiriannya dalam hal ini.
Kita
belum pernah melihat DAP mengendurkan atau mengorbankan walau secebis
daripada prinsip perjuangan DAP untuk mengakomodasi kehendak PAS atau
mengendur penentangannya terhadap perlaksanaan syariah Islam demi
mengambil hati PAS.
Bagaimana pula dengan PAS?
Pada
pandangan penulis, parti Islam ini sedang bergelut dengan masalah
dalaman tersendiri yang serius – penentangan terbuka terhadap Presiden,
pendekatan dan pendirian yang berbeza-beza (dan secara terbuka) di
antara komponen-komponen penting parti, berkembangnya bibit-bibit
penentangan (mutiny) dari kalangan ahli-ahli, pengaruh ideologi asing
(liberal dan Syiah) yang sedang menyusup masuk secara halus, kelompongan
(vacuum) pada kepemimpinan yang berwibawa di kalangan para pelapisnya
dan sikap ‘meremehkan’ bahawa tidak ada apa-apa masalah yang sedang
melanda parti.
Namun, di sebalik
semua itu, kerajaan Kelantan dan Presiden PAS sendiri (secara tidak
langsung) nampaknya enggan menjadikan ‘krisis dalaman’ parti sebagai
batu penghalang untuk mengarusperdanakan sekali lagi matlamat untuk
mendaulatkan pelaksanaan syariah di Kelantan. Dan mereka berjaya
melakukannya dengan ‘manis’ sekali kerana usul ini mendapat sokongan
padu daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri daripada UMNO.
Sebagaimana
pembunuhan Archduke Francis Ferdinand oleh seorang rakyat Serbia telah
meletuskan Perang Dunia Pertama, kelulusan undang-undang hudud
Kelantan boleh juga dianggap pencetus kepada penamatan tahaluf siyasi
secara berseorangan (unilateral) oleh Lim Kit Siang. Dan beliau
melakukannya dengan penuh bergaya sekali – menamatkan kerjasama dengan
Presiden PAS, tetapi tetap kekal di dalam pakatan rakyat!
Satu
tindakan yang sangat melucukan tetapi tidak menghairankan daripada
Ketua Parlimen DAP yang baru sahaja kehilangan rakan seperjuangannya
dari Singapura.
Adalah ditegaskan
bahawa Kit Siang lah yang ‘by default’ telah menamatkan tahaluf siyasi
secara efektif antara PAS, DAP dan PKR. Gabungan parti-parti
pembangkang ini ibarat retak menanti belah sahaja sejak hari pertama ia
didaftarkan dengan disaksikan oleh rakyat sebagai hakim negara.
Tindakan Kit Siang sudah tentulah mewakili pendirian rasmi parti.
Tahaluf siyasi sudah tidak ujud lagi. TITIK.
Dengan
penamatan tahaluf siyasi oleh Kit Siang, maka apa yang dicurigai oleh
rakyat Malaysia khususnya umat Islam telah muncul ke permukaan.
Rupa-rupanya sudah ada satu ‘tahaluf siyasi’ lain yang sedia menanti –
iaitu gabungan antara DAP, PKR, MCA, Gerakan, MIC dan beberapa parti
politik lain yang sedang menunggu masa yang sesuai untuk bergabung.
Senario
seperti di atas tidak sulit difahami. Lihat sahaja tajuk-tajuk akhbar
(bercetak dan alam maya) yang memuatkan kenyataan-kenyataan solidariti
daripada parti-parti politik utama dalam negara. Semuanya sebaris dan
senafas dengan pendirian lantang DAP – walaupun cara mereka menzahirkan
kebersamaan itu berbeza-beza mengikut ‘kebijaksanaan’ pemimpin mereka.
PAS
tidak rugi sedikitpun dengan ketegasan Presidennya dan kerajaan negeri
Kelantan untuk mendaulatkan syariah Islam di negeri itu. Mungkin
terdapat kritikan dan ruang-ruang penambahbaikan yang boleh diperhalusi
lagi, akan tetapi ia secara tidak langsung membuktikan bahawa
perlaksanaan syariah Islam adalah elemen penyatu padu dan sangat rapat
dengan kewujudan umat Islam.
Satu
kesan langsung yang timbul daripada kejayaan kerajaan Kelantan adalah
kegagalan agenda kumpulan pendesak dan penentang yang cuba untuk
‘merosakkan’ PAS dari dalam. Ada yang menyifatkannya sebagai permulaan
satu proses pembersihan parti daripada anasir-anasir perosak di semua
peringkat. Ada juga yang mengatakan bahawa Presiden melambangkan
kekuatan parti dan simbol kuasa sebenar. Bagaimanapun, hala tuju dan
realiti sebenar parti ini akan diketahui pada muktamarnya yang akan
berlangsung tidak berapa lama lagi.
Kesan
tidak langsungnya pula adalah timbulnya suara-suara ‘penentangan’ dari
kalangan gerakan-gerakan sivil, individu dan perseorangan, NGO dan
sebagainya dari kalangan umat Islam sendiri, yang sama ada
mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Kelantan, kebijaksanaan parti
dan Presiden PAS atau terhadap isu hudud itu sendiri. Dilihat dalam
konteks yang lebih luas, sikap dan pendirian mereka bolehlah
diklasifikasikan sebagai ‘mini tahaluf siyasi’ yang sebaris dengan
tahaluf siyasi baru tajaan DAP.
Dalam keadaan seperti ini, apakah alternatif terbaik untuk umat Islam?
Jawapannya
terletak pada tawafuq Islami (Permuafakatan Secara Islam). Ia
merupakan satu langkah untuk mempersatukan kembali umat Islam dan
bangsa Melayu di dalam kerangka Islam dan martabatnya bangsa. Persamaan
yang perlu diperjuangkan oleh umat Islam dan bangsa Melayu adalah
lebih banyak daripada perbezaannya.
Tanpa disedarinya, Kit Siang telah membuka jalan ke arah itu!
Mohd Luttfi Abdul Khalid
Peguam dan aktivis ISMA
Peguam dan aktivis ISMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan