Pemimpin DAP secara konsisten telah bertegas menyatakan bahawa Malaysia adalah negara demokratik secular sejak sebelum Pakatan Rakyat wujud [1]
Ini bermakna suara majoriti secara idealnya mencorak perundangan negera dan dalam masa yang sama hak minoriti tetap dipelihara.
Akan tetapi “demokratik secular” di Malaysia telah meletak Islam sebagai agama rasmi persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman damai sepertimana yang termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan [2]
Ini berbeza dengan negara demokrasi secular lain seperti Perancis yang langsung tidak mempunyai agama rasmi negara [3]
Usaha untuk membuat penakrifan bagi merangkumkan undang-undang syariah ke dalam kerangkan undang-undang jenayah di Malaysia (criminal law) telah sekian lama mejadi perdebatan dan pertikaian di kalangan pengamal undang-undang di Malaysia [4]
Ada pandangan yang menyatakan, bahawa ruang untuk perlaksanaan hukuman jenayah syariah di dalam negara demokrasi sekular seperti Malaysia ini masih terbuka.
Ini seperti yang pernah dilontarkan oleh pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari dalam Harakah daily bertajuk “Syariah Boleh Dilaksanakan Di Negara Ini-Aziz Bari” pada 27 October 2013 [5]
Pandangan yang hampir sama pernah dinukilkan oleh Abdullahi Ahmed An-Na’im dalam bukunya Islam and the Secular State [6]
Sarjana tersebut, berpandangan bahawa amalan negara sekular sebenarnya memberikan ruang yang lebih luas untuk perlaksanaan undang-undang syariah secara harmoni dan penuh ketamadunan.
An-Na’im berhujah bahawa sebarang perlaksanaan undang-undang syariah akan lebih mudah dilaksanakan dengan pendekatan minda madani (civic reason) berbanding secara paksaan atau kekerasan.
Lantas, penerimaan awam kepada hukum jenayah Islam untuk menjadi salah satu segmen daripada sistem perundangan negara akan menjadi lebih mudah dan penuh kerelaan.
Oleh kerana itu, kerajaan negeri Kelantan telah mengambil pendekatan yang diiktiraf oleh sistem demokrasi untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah pindaan 2015 minggu ini. [7]
Draf asal enakmen jenayah syariah tersebut bukan baru sehari dua bahkan sejak 25 November, 1993. [8]
Kerajaan PAS Kelantan telah dipilih melalui jalan pilihanraya sejak tahun 1990 melalui sistem first past the post.
Majoriti rakyat Kelantan telah pun memilih PAS bagi memimpin kerajaan negeri semenjak Pakatan Rakyat belum wujud lagi.
Adalah satu rahsia terbuka (open secret) kepada para pengundi bahawa PAS memang sejak awal berhasrat memperkenalkan undang-undang syariah di negeri tersebut.
Penerangan yang berpaksikan dalil Al-Quran dan Sunnah sejak 25 tahun lepas masih lagi diterima oleh minda madani majoriti rakyat Kelantan berdasarkan keputusan pilihanraya umum yang terakhir pada 2013.
Maka, adalah sangat tidak wajar apabila ahli DAP Melayu-Islam seperti saudara Izmil Amri untuk menyatakan bahawa kerajaan negeri Kelantan telah tergesa-gesa dalam soal melaksanakan hukum hudud di Kelantan sepertimana tulisan beliau di The Malaysian Insider pada 19 Mac, 2015 yang bertajuk “Apa hak DAP untuk campuri urusan hudud orang Islam?” [9]
Izmil menyatakan bahawa usaha menjadikan Islam sebagai asas untuk mencorakan sistem perundangan dan pentadbiran ke atas ruang awam yang berbilang kaum adalah sangat tidak adil
Kita mungkin boleh bersetuju jika PAS menggunakan kekerasan dan paksaan untuk melaksanakan hudud seperti sindrom Talibanisme yang digembar-gemburkan oleh para pengkritik tertentu.
Namun, coretan beliau adalah bersifat prejudis lagi pesimis apabila menjangkakan kebobrokan dan kejelikan yang kononya bakal tercetus, akibat perlaksanaan hudud nanti.
Fobia yang digambarkan adalah sangat lucu seolah-olah beliau adalah orang pertama bakal yang sedang beratur untuk menantikan hukuman.
Lebih mengelikan, hudud juga telah digambarkan seumpama virus yang bakal merebak dari satu negeri ke satu negeri yang lain walhal secara jelasnya kerajaan negeri lain dikuasai oleh parti politik yang tidak menjadikan hudud agenda mereka.
Jikalau pun hukuman syariah hendak “direbakan” ke seluruh pelusuk negara, sudah pastinya dengan mandat rakyat dan bukan secara kekerasan.
Selain itu, DAP cuba diperlihatkan sebagai juara demokrasi tulen yang bakal mengungguli pembentukan negara bangsa berasaskan jati diri Malaysia.
Hakikatnya, DAP telah lama gagal dalam menterjemahkan wajah negara bangsa di dalam organisasi mereka sendiri.
Dominasi satu kaum di peringkat kepimpinan tertinggi parti tersebut adalah sangat ketara.
Ini jelas dibuktikan apabila kesemua lapan pemimpin DAP Melayu Islam gagal mendapat kepercayaan majoriti untuk menerajui organisasi parti mereka dalam pemilihan CEC tahun 2012 [10]
Jika sifir pesimis yang sama ingin digunapakai, pasti kita boleh bertanya apakah jaminan bahawa jurang polarisasi kaum tidak akan menjadi lebih buruk jika DAP memerintah negara?
Mungkinkan slogan Malaysian Malaysia itu hanya kalam munafik penuh bermuka-muka?
Menilai pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang, kelihatan DAP juga mencedok demokrasi mengikut hawa nafsu mereka.
Kebebasan bersuara yang dicanangkan hanyalah palsu dan tempelan semata-mata.
Contoh paling terkini, adalah dalam isu pemecatan bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang daripada PAS iaitu Saudara Iszuree Ibrahim [11].
Beliau telah disingkirkan daripada majlis secara serta merta, tanpa mendapat ruang membela diri setelah mengkritik kerajaan Pulau Pinang dalam isu perumahan.
Maka, DAP harus cermin muka sendiri terlebih dahulu sebelum mengkritik PAS jauh lebih jujur dalam mengunakan saluran demokrasi yang sah untuk mencorak pentadbiran negeri yang diperintah mereka.
Hormatilah kehendak rakyat Kelantan yang telah mengundi PAS dengan penuh kebijakan minda madani sejak enam penggal yang lalu.
Setidak-tidaknya kali ini komponen Pakatan Rakyat telah sedia maklum akan hasrat “Langkah Hudud” kerajaan negeri Kelantan yang juga telah mendapat perkenan awal Sultan Kelantan sendiri dan bukannya seperti ‘Langkah Kajang’ yang lebih dahulu memecah-belahkan pakatan. – 23 Mac, 2015.
*Penulis adalah mantan pegawai penyelidik polisi Sahabat Alam Malaysia (SAM), dan kini sebagai felo akademik AMDI, USM Pulau Pinang yang sedang menyiapkan pengajian PhD (Polymer Material) di University of Sheffield, United Kingdom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan