MALAYSIAKINI
Proses pengauditan dilaksanakan Ketua Audit Negara terhadap 1Malaysia
Development Bhd (1MDB) bertujuan mencari kebenaran, bukan suatu 'cara
klasik untuk menghentikan komen', kata seorang menteri di Jabatan
Perdana hari ini.
Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata Jabatan Audit Negara mula
melakukan pengauditan setelah diarah berbuat demikian oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bagi membuat pengesahan terhadap
akaun 1MDB secara bebas.
"Kerajaan serius untuk mencari kebenaran. Ketua Audit Negara diminta
melakukan pengauditan bukan sahaja terhadap akaun, tetapi apa jua yang
diperlukan untuk mencari kebenaran, khususnya mengenai perkara yang
menimbulkan kebimbangan orang ramai.
"Ada orang mendakwa ini suatu cara klasik untuk menghentikan komen orang
ramai, tetapi itu tidak benar. Dapatan Ketua Audit Negara akan
dibentang kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang bersifat
dwipemihak, telus dan terbuka," katanya selepas melancarkan Sistem
Pengurusan Susulan Audit di Serdang.
Pada 4 Mac, Najib mengarahkan Ketua Audit Negara membuat pengesahan
terhadap akaun 1MDB dan berkata sekiranya terbukti terdapat sebarang
salah laku, tindakan undang-undang akan diambil tanpa pengecualian.
Pada 9 Mac, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sebuah
pasukan petugas khas dianggotai wakil dari Jabatan Peguam Negara dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibentuk bagi
menyiasat aduan tentang kedudukan dana 1MDB.
Low berkata audit oleh Ketua Audit Negara dan pasukan petugas khas itu dilakukan secara serentak dan bebas.
"Perlu dijelaskan bahawa mereka tidak menerima arahan atau campur tangan daripada sesiapa.
"Saya boleh beri jaminan kepada anda bahawa ia berjalan secara bebas
bagi menentukan sama ada dakwaan yang dibuat itu adalah benar kerana
orang ramai ingin tahu mengenainya (kebenaran).
"Laporan Ketua Audit Negara akan didedahkan kepada umum," katanya.
1MDB, yang ditubuhkan pada 2009, menjadi fokus media dan orang ramai setelah timbul dakwaan berlaku salah urus kewangan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan