MALAYSIAKINI
Polis menahan seorang mahasiswa Jumaat lepas yang kemaruk merakam aksi
wanita membuang air kecil di tandas sebuah sekolah rendah di Kuala Terla
dekat Cameron Highlands.
Suspek dikatakan meletakkan alat rakaman litar tertutup (CCTV)
menyerupai penyangkut baju di pintu tandas untuk membuat rakaman
tersebut.
Perbuatannya disedari oleh salah seorang mangsa berusia 30 tahun yang
merupakan pengusaha kantin sekolah tersebut pada pukul 8 pagi Khamis
lepas ketika mahu membuang air kecil.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu
berkata, mangsa yang melihat 'penyangkut baju' tergantung senget di
pintu tandas itu cuba membetulkan kedudukannya.
"Sebaik sahaja memegang penyangkut baju itu mangsa mendapati terdapat
butang kecil tertulis perkataan 'on/off' lalu memeriksa alat itu yang
didapati mempunyai memori kad dipercayai boleh membuat rakaman.
"Mangsa kemudiannya menceritakan perkara itu kepada guru besar sebelum
pihak pengurusan sekolah memasang CCTV di dalam tandas berkenaan untuk
mengenal pasti individu terbabit," kata Wan Mohd Zahari ketika dihubungi
di Kuantan semalam.
Beliau berkata, hasil CCTV yang dipasang tersembunyi itu, pihak
pengurusan sekolah berjaya merakam imej suspek berusia 20-an yang masuk
ke dalam tandas tersebut untuk mengambil penyangkut baju berkenaan.
Katanya, susulan kejadian itu, guru besar sekolah berkenaan membuat
laporan di Balai Polis Kuala Terla, Jumaat lepas sebelum polis berjaya
menahan suspek di sebuah rumah berdekatan sekolah tersebut.
Suspek adalah penuntut tahun akhir sebuah universiti di Kuala Lumpur.
Polis sedang menyiasat motif suspek membuat rakaman, sama ada untuk kegunaan peribadi atau disebarkan di laman sesawang.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan